Isnin, 19 Mac 2018

Tok Guru Nik Aziz tak pernah jadi apologis DAP dalam isu Islam

Dr Kamarul Zaman Yusoff

Keji apabila pemimpin PAN menggunakan nama almarhum Nik Aziz untuk mempertahan tindakan DAP yang secara jelas menolak RUU355


MELENTING pemimpin AMANAH bila saya menulis ‘tahap pemimpin AMANAH hanyalah tidak lebih daripada menjadi apologis untuk DAP’ ekoran tulisan Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, Jamzuri Ardani, yang mempertahankan penolakan DAP ke atas RUU 355 dengan mendakwa penolakan itu bukan kerana DAP anti-Islam tetapi ‘kalau dia tidak tolak RUU 355 maka parti itu akan hilang undi dan akan kalah dalam pilihan raya‘.

Seperti selalu, bila terhimpit, pemimpin AMANAH akan segera menggunakan nama bekas pemimpin PAS seperti Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor sebagai pendinding bagi mewajarkan tindakan atau kenyataan mereka.

Di dalam kes Jamzuri, beliau menggunakan nama Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz dengan menyebut kononnya beliau hanya melakukan perkara yang sama dengan apa yang Almarhum lakukan, iaitu ‘mempertahankan rakan koalisinya dari serangan musuh politik’.
 
Kata Jamzuri bagi mewajarkan tulisan beliau: ‘AMANAH dan DAP adalah parti komponen Pakatan Harapan bersama PKR dan PPBM?’ Serangan ke atas mana-mana komponen Pakatan Harapan adalah serangan ke atas semua parti komponen Pakatan Harapan”.

Sebenarnya, penjelasan Jamzuri ini adalah pengakuan yang membolehkan kita mengetahui punca utama mengapa PAS dilanda masalah berterusan dengan bekas pemimpin PAS yang kini menyertai AMANAH sewaktu ia berada di dalam Pakatan Rakyat dulu.

Penyertaan PAS di dalam Pakatan Rakyat adalah digantungkan kepada kertas kerja Majlis Syura Ulama’, “Tahaluf Siasi: Garis Panduan Dari Perspektif Islam”, yang menyenaraikan enam perkara yang menjadi syarat kepada penyertaan PAS di dalam Pakatan Rakyat.

Salah satu syarat utama kepada penyertaan PAS di dalam Pakatan Rakyat, yang sering dilanggari oleh bekas pemimpin PAS ini, adalah “intima’, yang merangkumi taat, wala’ dan thiqah, mestilah diberikan kepada kepimpinan parti, bukan kepada pakatan tahaluf”.

Bagaimanapun, intima’ bekas pemimpin PAS ini diberikan kepada Pakatan Rakyat, bukan kepada PAS, termasuk dengan mengkhianati keputusan Majlis Syura Ulama’ yang menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Syarat lebih penting kepada penyertaan PAS di dalam Pakatan Rakyat pula adalah ‘tahaluf (kerjasama) mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk perlaksanaan Islam’.

Disebutkan juga di dalam kertas kerja ini bahawa tahaluf perlu dikaji semula sekiranya ia boleh menyebabkan berlakunya ‘halangan kepada penegakan negara Islam‘, ‘kedudukan orang Islam tergugat‘ dan ‘disyaratkan untuk tidak melaksanakan syari’at Islam’.

Tidak berbangkit soal Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz ‘mempertahankan rakan koalisinya dari serangan musuh politik‘ kerana pada waktu itu tindakan DAP tidak menunjukkan bahawa ia mensyaratkan PAS supaya tidak melaksanakan syariat Islam.

Malah, pada waktu itu, terdapat pemimpin DAP yang memberikan gambaran kepada masyarakat umum bahawa mereka tidak menghalang perlaksanaan syari’at Islam ini hingga ke tahap mereka sanggup membaca petikan ayat al-Qur’an di dalam ucapan mereka.

Kenyataan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 28 September 2011 malah ‘memperakui dan menghormati perbezaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah’.

Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyokong PAS bila berbangkit isu perlaksanaan syariat Islam dengan menyebut ‘DAP dan PKR telah lama mengakui usaha Kelantan dan bersetuju melihat Kelantan sebagai isu berasingan dengan cadangan hudud peringkat kebangsaan’.

Malangnya, selepas Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz tiada, dan selepas Kerajaan Pusat mula memberikan ruang kepada PAS untuk melaksanakan syariat Islam di Kelantan, pemimpin DAP, malah Datuk Seri Anwar sendiri, bertukar arah dengan menolaknya.

Di dalam isu perlaksanaan syariat Islam, Almarhum tidak pernah menjadi apologis DAP, malah rekod membuktikan bahawa Almarhum dan PAS mempertahankannya sehingga menyebabkan DAP menarik diri dari Barisan Alternatif pada 22 September 2001.

Begitu juga bila isu hudud muncul di dalam Pakatan Rakyat pada akhir 2011, rekod membuktikan bahawa Almarhum dua kali mengeluarkan kenyataan tegas sanggup melihat DAP keluar dari Pakatan Rakyat dan tetap akan melaksanakan hudud di Kelantan.

(Kedua-dua kenyataan ini boleh dirujuk di “Terpulang DAP Mahu Keluar Pakatan, Saya Tetap Mahu Laksana Hudud, Kata Nik Aziz”, Bernama, 22 September 2011, dan “Nik Aziz Prepared To See DAP Leave Pakatan Over Hudud”, Malaysiakini, 25 September 2011).

Adalah satu perkara keji untuk pemimpin AMANAH menyalahgunakan nama Almarhum untuk mewajarkan tindakan mereka mempertahankan penolakan DAP ke atas RUU 355 bila mereka tahu bawa Almarhum tidak pernah menjadi apologis DAP dalam isu begini.

Khalid Samad sendiri sebelum ini pun tidak mempertahankan DAP, tetapi hanya sekadar menyatakan persetujuan pemimpin bukan Islam di dalam DAP “sebelum kita umat Islam bersetuju untuk melaksanakan apa yang telah diwajibkan oleh agama kita” tidak perlu.

Malah, Dr Dzulkefly Ahmad sendiri sebelum ini pun pernah menyatakan pesanan dan harapan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz bahawa “beliau juga mahu kerjasama Pusat agar undang-undang ini dilaksanakan di Kelantan dan negeri Kelantan dijadikan model”.

Dan, jika betul AMANAH akur kepada Almarhum, kenapa pemimpin AMANAH tidak pula mahu akur kepada kenyataan Almarhum pada 13 Oktober 2014 yang menyebut bahawa wakil rakyat PAS yang mahu keluar dari PAS adalah ‘orang yang tidak siuman‘?

*Dr Kamarul Zaman Yusoff
Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tiada ulasan: