OLEH ERMIZI MUHAMAD
KAJANG: Sebanyak RM8 juta disalurkan Kerajaan Negeri di bawah dua
projek pembangunan pembaikpulihan tebing Sungai Jelok dan penstabilan
tebing Sungai Jeluh yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir di
Pekan Kajang.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
berkata, inisiatif pembangunan projek itu turut dilaksanakan bagi
meningkatkan fasiliti jangka panjang penduduk Kajang.
Katanya,
tumpuan itu juga dijayakan secara komprehensif bagi membuktikan
komitmen pentadbiran negeri memastikan penyelenggaraan dan kemudahan
warga Kajang, kekal terjamin.
“Daerah Hulu Langat adalah antara
daerah rancak membangun dengan projek pembangunan komersial, kemudahan
perumahan, fasiliti awam, pembangunan industri, kesihatan dan
pendidikan.
“Menjelang
2020, jumlah penduduk di kawasan ini dianggarkan mencecah 1.4 juta dan
unjuran ini menjadi cabaran terbesar Kerajaan Negeri untuk merangsang
pertumbuhan ekonomi mampan.
“Justeru, menjadi tanggungjawab
Kerajaan Negeri untuk menyediakan kemudahan sosio-ekonomi terbaik yang
meliputi aspek kesihatan, pendidikan, kebajikan, keusahawanan dan
fasiliti awam yang turut merangkumi aspek pembinaan penaiktarafan projek
tebatan banjir seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian
pada Majlis Penyerahan Projek Menaik Aras Jambatan dan Projek
Membaikpulih Penstabilan Tebing Sungai Jelok, Pekan Kajang, pagi ini.
Untuk
rekod, projek berkenaan menelan belanja keseluruhan RM3.2 juta yang
ditanggung sepenuhnya Kerajaan Selangor di bawah Perbelanjaan
Pembangunan P12.
Projek yang dimulakan pada 7 Disember 2016 lalu
menggunakan teknologi ‘Bebo Arch’ yang berbentuk gerbang sebagai
alternatif kepada penggunaan jambatan alang konkrit untuk mengelakkan
banjir.
Pelaksanaannya mampu menampung kapasiti air lebih tinggi
yang berjaya disiapkan mengikut perancangan awal pada 26 Januari 2018
lalu.
Sementara itu, projek penstabilan Tebing Sungai Jeluh yang
menelan belanja RM4.8 juta merupakan sebuah projek pelebaran sungai
sedia ada dan pembinaan naik taraf penjalan kaki menerusi penggunaan
teknologi ‘flood gate’ dan ‘flap gate’ di bawah jajaran sepanjang 800
meter.
Projek berkenaan dilaksanakan susulan kekerapan berlakunya banjir paling besar di Pekan Kajang pada 3 September 2014 lalu.
Jabatan
Kerja Raya Selangor (JKR) memaklumkan, sejak pelaksanaan projek berjaya
dibangunkan, tiada lagi kejadian banjir dilaporkan berlaku di Pekan
Kajang, walaupun ketika taburan hujan tertinggi dicatatkan tahun lalu.
Ia sekaligus memudahkan urusan jaringan pengangkutan dan pertumbuhan ekonomi mampan warga Kajang.
Terdahulu,
Mohamed Azmin bersama pimpinan Kerajaan Negeri, Zaidy Abdul Talib dan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail turun padang meninjau keberkesanan pelaksaan kedua-dua projek
berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan