Selasa, 13 Mac 2018

Sekat dana: PAS Selangor serah surat kepada Sultan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS telah menyerahkan satu surat rasmi kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkaitan sekatan peruntukan tahunan kepada wakil rakyatnya di negeri ini.
 
Penyerahan surat itu dilakukan sendiri Pesuruhjaya PAS negeri, Sallehen Mukhyi kepada pegawai pengiring baginda, Kapten Ahmad Ramli Kardi selepas ADUN Sabak itu hadir ke Istana Mestika, Seksyen 7 di sini, kira-kira pukul 2 petang semalam.
 
Surat tersebut kemudiannya diserahkan kepada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.
 
Sallehen mengesahkan perkara itu, katanya surat itu untuk memaklumkan kepada baginda mengenai situasi sebenar selepas Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyekat peruntukan tahunan 13 wakil rakyat PAS sejak dua bulan lalu.
 
“Kita (PAS Selangor) serahkan surat itu kepada Sultan Selangor hari ini. Kita bukan minta campur tangan Sultan Selangor, tetapi surat itu adalah untuk memaklumkan kepada baginda mengenai apa yang sebenarnya berlaku di sebalik isu sekatan peruntukan kerajaan negeri kepada wakil-wakil rakyat PAS ketika ini.
 
“Sebelum ini kita telah berusaha mendapatkan penjelasan daripada Menteri Besar termasuk meminta tarikh untuk mengadakan perbincangan. Namun, Menteri Besar memilih untuk bermain tolak tarik dengan kita,” katanya dilaporkan Utusan Malaysia, hari ini.
 
Mohamed Azmin sebelum ini menggesa PAS untuk tidak melibatkan Istana Selangor dalam kemelut berkenaan dan menegaskan ia hanya melibatkan isu teknikal yang akan diselesaikan segera. 
 
Sallehen berkata pihaknya mengambil tindakan setelah menunggu sekian lama untuk Azmin mengambil tindakan yang sepatutnya. 
 
Ini kerana jelasnya, berdasarkan tindak-tanduk Mohamed Azmin dalam isu berkenaan, Timbalan Presiden PKR itu dilihat tidak menunjukkan sebarang minat atau berusaha untuk menyelesaikan isu berkenaan sehingga kini.
 
“Kita telah bertanyakan isu peruntukan wakil-wakil rakyat PAS ini kepada semua Pegawai Daerah selaku pengawal kewangan, namun mereka memaklumkan perkara itu harus dirujuk kepada Menteri Besar yang mengeluarkan arahan. Apabila kita tanya kepada Menteri Besar, beliau minta kita tanya pula kepada Pegawai Daerah.
 
“Justeru, Menteri Besar kena ikhlas dan jujur sama ada nak beri atau tak nak beri langsung peruntukan tahunan itu kepada wakil-wakil rakyat PAS. Kita tidak akan merayu,” ujarnya.
 
Sementara itu, akhbar itu juga melaporkan Mohamad Munir mengesahkan menerima surat daripada Sallehen dan akan menyerahkannya untuk perhatian Sultan Selangor.
 
 

Tiada ulasan: