Jumaat, 16 Mac 2018

Sedia jadi Mamak Roti: Mahfuz temberang?

DETIK DAILY


Oleh DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF

SEWAKTU mengumumkan kemasukan beliau ke dalam PAN semalam, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, menyebut bahawa kemasukan beliau ke dalam PAN itu adalah kerana ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai PAN sebagai parti yang banyak berkorban bagi menjayakan pembahagian kerusi di peringkat Semenanjung Malaysia menyebabkan “adalah wajar (beliau) bersama dengan parti yang telah banyak berkorban bagi menjayakan perjuangan untuk rakyat demi masa depan Malaysia”.

Kata Datuk Mahfuz lagi, kemasukan beliau ke dalam PAN itu bukanlah bertujuan untuk membolehkan beliau jadi calon PAN di Pokok Sena di dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 kerana beliau kononnya “sekadar nak jadi petugas bagi menangkan calon dari mana-mana parti untuk menang”, malah beliau juga mendakwa kononnya beliau “sedia jadi mamak roti yang nak balik India yang akan akan bawa pengganti dia pusing satu kampung dan lorong untuk pastikan pelanggan sedia ada datang membeli roti yang dijual”.

Begitulah mudahnya Datuk Mahfuz cuba jual temberang seolah-olah rakyat Malaysia ini naif dan boleh diperbodohkan belaka, sedangkan ramai daripada kita yang tahu bahawa sejak 19 November 2017 lagi beliau telah menandatangani Perjanjian Akujanji Khidmat Rakyat antara beliau dengan INVOKE di mana pada bahagian pendahuluan perjanjian ini jelas dinyatakan bahawa beliau adalah seorang rakyat Malaysia yang bukan sahaja 'layak' tetapi juga 'berhasrat' untuk menyertai pertandingan di dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pada bahagian pengakhiran perjanjian ini pula jelas dinyatakan bahawa Datuk Mahfuz, sewaktu memeterai dan menandatangani perjanjian ini di hadapan saksi beliau, Che Zam Hamzah, mengakui “telah faham sepenuhnya” kandungan perjanjian ini dan “dengan ini menyatakan persetujuan untuk 'patuh' kepada akujanji”.

Soalnya sekarang ialah apakah Datuk Mahfuz benar-benar “telah faham sepenuhnya” kandungan perjanjian ini kerana jika beliau benar-benar “telah faham sepenuhnya” sudah tentulah beliau tahu bahawa perjanjian ini dibuat kerana beliau 'berhasrat' untuk menyertai pertandingan di dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Disebabkan tidak logik seorang Ahli Parlimen boleh memeterai dan menandatangani satu perjanjian yang beliau 'tidak faham', maka kesimpulan yang boleh dibuat ialah Datuk Mahfuz cuba jual temberang bila menyebut kononnya beliau 'tidak berhasrat' untuk menyertai pertandingan di dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Walau macam mana sekalipun Datuk Mahfuz memusingnya, hakikat yang tidak boleh beliau nafikan adalah beliau memang temberang, cuma soalnya sekarang ialah mana satukah yang betul dan mana satukah yang temberang antara kenyataan beliau di dalam perjanjian yang dimeterai dan ditandatangani dengan kenyataan lisan beliau tadi.

Dan soalnya sekarang ialah apakah jual temberang ini adalah daripada ajaran Islam? Dan soalnya sekarang juga ialah sesuaikah kaki temberang dijulang sebagai hero? -HARAKAHDAILY







Tiada ulasan: