DETIK DAILY
Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Jika orang meminta saya
menyenaraikan antara sahabat baik dalam hidup saya, maka al-fadhil Dr
Maszlee Malik antara mereka. Saya lama mengenalinya dan sentiasa
menganggap beliau mempunyai keistimewaan yang tersendiri khususnya dalam
aliran-aliran pemikiran politik. Demikian juga dalam sejarah gerakan
Islam yang pelbagai. Beliau juga handal dalam pandangan fikah. Beliau
tokoh ilmuwan.
Ya, seperti sifat ahli akademik, ada perkara yang kami setuju dan
tidak setuju, tapi beliau sahabat yang baik untuk saya. Saya mengasihi
beliau sebagai sahabat bahkan bagaikan adik-beradik saya sendiri. Banyak
perkara yang saya belajar dari beliau ataupun menjenguk dari tingkap
yang dibuka oleh beliau melalui perbincangan dan perbahasan. Ini
khususnya berkaitan pemikiran Barat. Apatah lagi, bahasa Inggeris beliau
bagus dan banyak membaca bahan barat. Pada hari-hari awal saya
mendekati penulisan barat -sebelum menjadi felo di Oxford- Dr Maszlee
merupakan antara rujukan saya dalam memilih bahan-bahan penting.
Semasa saya dilantik menjadi mufti Perlis buat kali pertama pada
tahun 2006-2008, beliau antara tokoh yang saya pilih menganggotai
Jawatankuasa Fatwa Perlis. Kemudian beliau ke United Kingdom (UK)
menyambung pelajaran. Selepas itu saya pula tamat sebagai mufti bagi
kali pertama 2008, saya terus ke Lampeter, Wales UK. Di UK, kami
bersahabat lebih rapat walaupun tempat tidak sama. Beliau di Durham.
Namun kami selalu berjumpa di London.
Hari-hari yang datang dan pergi menjadikan kami lebih dekat atas
pelbagai perkembangan dakwah dan pemikiran dalam negara ini. Dalam
kerangka pemikiran fikir, saya rasa kami tidak jauh walaupun ada
perkara-perkara yang kami berbeza. Dalam saat-saat cabaran yang getir
dalam dakwah saya, beliau sentiasa ada sebagai sahabat yang dekat. Maka,
dalam banyak perkara saya mengambil kira pandangan beliau dalam menilai
sesuatu secara seimbang.
Apabila saya dilantik semula sebagai mufti Perlis untuk kali kedua
pada 2015, saya sekali mencalonkan nama beliau sebagai anggota
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis. Ini atas kelayakan beliau di bidang
fikah dan pemikiran Islam. Beliau aktif dan bernas apabila hadir
mesyuarat.
Walaupun kadangkala saya kurang gembira sebab beliau sering
juga 'gagal hadir' mesyuarat kerana sibuk.
Di sudut kembara, kami pergi umrah bersama. Pernah ke Scotland
bersama. Pernah ke Jerman bersama. Pernah ke Republik Czech bersama.
Pernah ke Gaza bersama. Pernah ke Amerika Syarikat bersama dan pelbagai
lagi. Pendek kata beliau antara sahabat yang dekat.
Saya pernah bawa nama beliau untuk pelbagai cadangan. Namun,
'semangat politik' beliau sentiasa mengatasi saya. Saya orang biasa.
Beliau orang luar biasa dalam semangat berpolitik. Orang seperti beliau
memerlukan platform yang membolehkan beliau melebarkan cakupan pemikiran
politik yang hendak diketengahkan. Saya rasa beliau perlu pegang satu
institusi kajian politik yang bebas tapi teguh. Sukar untuk diperoleh
institusi seperti itu di negara kita.
Beberapa hari lepas, pada subuh hari beliau menghubungi saya
memaklumkan bahawa beliau akan menyertai parti BERSATU. Beliau meminta
saya mendoakan beliau dalam tahajud. Saya pada mulanya terdiam sebab
saya rasa itu bukan aliran politik beliau. Saya fikir sahabat baik kami
Wan Saiful Wan Jan mempengaruhi beliau. Ini kerana pada saya aliran asal
pemikiran politik Wan Saiful Wan Jan juga berbeza dari BERSATU. Wan
Saiful juga sahabat kami bersama. Namun setelah Dr Maszlee jelaskan
kepada saya, saya dapat faham pola pemikiran mereka. Ya, saya akur
politik itu sentiasa fleksibel dan ijtihad politik juga sentiasa
mengikut keperluan semasa atau maslahah yang hendak dicapai.
Saya bertanya beliau: Sudah istikharah? Beliau jawab: "Sudah dan berulang kali."
Alhamdulillah, saya doakan Allah merahmati keputusan beliau. Sebagai
sahabat saya akan mendoakan yang terbaik untuk beliau. Bak kata Nabi SAW
ketika melepaskan pasukan pejuang (bermaksud):
"Berjalanlah kamu dengan nama Allah.”
Ada orang bertanya saya, tidakkah mahu masuk politik sebab dua
sahabat ternama telah masuk. Saya jawab, saya orang biasa. Bak kata
pujangga: "Datang tidak bertambah, pergi tidak berkurang".
Ada pun mereka ahli dalam bidang tersebut. Semoga mereka dirahmati Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan