Jumaat, 16 Mac 2018

Ratu Naga berdepan perbicaraan kerana hina Najib

 
Hakim berkata kebebasan bersuara bukan mutlak dan Parlimen boleh mengenakan sekatan atas dasar ketenteraman awam dan moral.


Gambar Twitter.


SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan seorang perunding bangunan yang menggunakan nama “Ratu Naga” di Facebook berdepan perbicaraan di Mahkamah Sesyen kerana menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di laman media sosial 3 tahun lalu.

Perintah itu mengetepikan permohonan Syarul Ema Rena Abu Samah untuk merujuk Mahkamah Persekutuan bagi menentukan keperlembagaan Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 25 Januari, Ahli Parlimen Subang R Sivarasa juga gagal mencabar peruntukan di Mahkamah Kuala Lumpur, mengatakan ianya melanggar hak kebebasan bersuara.

Seperti Sivarasa, Syarul Ema, 37, berpendapat peruntukan itu melanggar Perkara 8 dan 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 8 menyatakan semua individu adalah sama di bawah undang-undang dan berhak kepada perlindungan sama, sementara Perkara 10 (1)(a) berkata setiap warganegara mempunyai hak kebebasan bersuara.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Rahman berkata kebebasan bersuara tidak mutlak dan Parlimen boleh mengenakan sekatan atas dasar ketenteraman awam dan moral.
Beliau berkata Seksyen 233 (1)(a) daripada sangat jelas dan khusus.

“Peruntukan itu jelas dan memberi notis mencukupi yang seseorang tidak boleh menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian seperti menyampaikan perkara lucah, sumbang, palsu atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau menggangu orang lain,” katanya.

Pada 19 Januari tahun lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Sepang Muhammad Faizal Ismail menolak untuk merujuk hal itu ke Mahkamah Tinggi, mengatakan keesahan Seksyen 233 (1)(a) sudah diputuskan pada 2010.

Pada 17 Februari 2016, Syarul Ema merayu tidak bersalah terhadap tuduhan dengan sengaja menggunakan aplikasi rangkaian itu menerusi profil Facebook “Ratu Naga”, untuk membuat dan memulakan penyampaian komen menyakitkan hati terhadap Najib berkenaan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di laman Facebook miliknya pada 12.02 malam 6 Oktober 2015.

Mereka yang disabitkan bersalah boleh didenda sebanyak RM50,000 maksimum dan dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Peguam, Latheefa Koya yang hadir bersama Gurdial Singh Nijar berkata perbicaraan Syarul Ema dijadualkan selama 4 hari bermula 20 Mac.

“Bagaimanapun, kami akan rayu terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan dan juga meminta penggantungan perbicaraan,” katanya kepada FMT.

Latheefa berkata Sivarasa juga memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Tiada ulasan: