Khamis, 15 Mac 2018

Rasullullah juga amalkan bai'ah, kata Hadi

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAN: Tindakan mengenakan lafaz bai'ah dalam urusan politik adalah amalan Rasulullah SAW.
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata semasa Nabi Muhammad memerintah negara suatu ketika dulu baginda juga melakukan bai'ah.
 
Amalan itu katanya diikuti pemerintah Islam dan "parti Islam" yang menyambung perjuangan berkenaan.
 
Hadi menambah bai'ah juga mempunyai kaitan dengan iman seseorang kepada Allah dan hari akhirat.
 
"Setiap calon (pilihan raya) PAS diwajibkan bai'ah yang menjadi sebahagian daripada rukun politik Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Menurut anggota parlimen Marang itu bai'ah diperlukan supaya seseorang pemimpin melaksanakan konsep adil kepada masyakat majmuk, agama dan kerajaan.
 
Bai'ah ialah amalan yang disyaratkan PAS kepada seseorang anggotanya yang akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya. Ia mula dilaksanakan selepas berlaku beberapa kejadian wakil rakyat mereka menyertai parti lain.
 
Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh berkata bai'ah standard dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulama tetapi badan berkenaan tidak menghalang mana-mana negeri mengubah suai lafaznya.
 
Ia pernah menjadi polemik apabila ada negeri yang memasukkan lafaz cerai bertalak tiga kepada calon mereka.
 
Menjelang pilihan raya umum (PRU) ini PAS sekali lagi menegaskan akan terus beramal dengan baiah bagi memastikan calonnya kekal istaqamah bersama parti berkenaan.
 
Abdul Hadi berkata politik yang dibawa Rasulullah menunjukkan kesungguhan melaksanakan perintah Allah. Kemudian katanya ulama dan ilmuan Islam yang beramanah mewarisi pelaksanaan amalan itu daripada nabi.
 
Katanya bai'ah itu menekankan ketaatan dan walak mutlak kepada Allah dan rasul yang menjadi akidah perjuangannya, manakala ketaatan rakyat terhadap pemimpin adalah bersyarat iaitu tidak menderhakai perintah Allah dan rasul.
 
Abdul Hadi juga berkata negara dibebani dengan masalah apabila kerajaan meneruskan konsep diwarisi penjajah dan ia terbukti di semua negara yang pernah dijajah.
 
Justeru katanya PAS menawarkan idea Wawasan Induk Negara Sejahtera (Wins) yang didakwanya berpandukan petunjuk daripada al-Quran.
  

Tiada ulasan: