Rabu, 14 Mac 2018

Rakyat Terengganu melarat, kanak-kanak terbantut kerana kerajaan membazir

Rakyat Terengganu melarat, kanak-kanak terbantut kerana kerajaan membazir
Kanak-kanak kelihatan bermain bola di Seberang Takir, Terengganu. Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman menyalahkan ibu bapa dalam masalah tumbesaran kanak-kanak di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 
 
AHLI Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah menyelar kenyataan Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman yang menyalahkan ibu bapa dalam masalah tumbesaran kanak-kanak di negeri itu.

Malah jika pertumbuhan kanak-kanak itu terbantut kerana ibu bapa tidak peka dalam menyediakan makanan berkhasiat, kerajaan sepatutnya mampu memberi penerangan untuk mengatasinya, katanya.

"Jika sikap ibu bapa adalah sebab sebenarnya ia berlaku, ini sepatutnya mudah diatasi dengan penerangan oleh pegawai kerajaan termasuk dari Kementerian Kesihatan dan juga penyebaran maklumat oleh ketua kampung dan JKK tempatan.

"Terengganu mempunyai bajet negeri yang amat tinggi sebanyak RM2.2 bilion untuk rakyat hanya seramai 1.1 juta saja.

"Kenapakah wang yang banyak dan tenaga kerja yang ada tidak dimanfaatkan bagi tujuan penerangan kesihatan anak-anak kecil? Kerajaan gagal berbuat demikian," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Raja Kamarul menambah, keadaan rakyat di Terengganu itu melarat kerana sikap pembaziran yang diamalkan oleh kerajaan negeri tersebut seperti pembelian bas amfibia yang memakan kos RM3 juta.

Antara pembaziran lain merupakan pembinaan pusat bebas cukai berharga RM320 juta dan Taman Ilmu dengan kos RM350 juta.

"Kedua-duanya masih terbengkalai – antara contoh wang disalahgunakan tidak mengikut keutamaan keperluan sebenarnya," katanya.

Beliau turut mengkritik keadaan penduduk di bawah pimpinan pemimpin Barisan Nasional yang dikatakan tidak terbela.

Katanya, nelayan di Kampong Teluk Ketapang hanya meraih pendapatan di bawah RM460 sebulan dan di Kemaman pula di bawah RM500 sebulan.

Kampung Teluk Ketapang berada dalam kawasan DUN diwakili Ahmad Razif dan kawasan Parlimen Kemaman pula diwakil oleh menteri Umno Shabery Cheek.

"Kalau melihat bajet negeri Terengganu melebihi RM2.2 bilion untuk penduduk 1.1 juta ini adalah cukup lumayan unutk memastikan rakyat sihat dan sejahtera kalau dibandingkan dengan jiran Kelantan dan Pahang dengan bajet hanya RM700 juta tetapi penduduk yang lebih ramai.

"Pengurusan dan urus tadbir kerajaan Terengganu yang lemahlah menyebabkan situasi yang dihadapi oleh rakyat ini," kata Raja Kamarul lagi.

Laporan oleh Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef) menyatakan, 26% kanak-kanak bawah lima tahun mengalami tumbesaran terbantut di Terengganu, iaitu kedua tertinggi selepas Kelantan.

Raja Kamarul Bahrin ketika mengulas hasil kajian tersebut minggu lalu berkata, perkembangan berkenaan menunjukkan kerajaan negeri tidak prihatin dengan masalah kekurangan zat makanan di kalangan rakyat.

Ahmad Razif dalam jawapannya selepas itu berkata tuduhan itu merupakan satu fitnah dan menjelaskan kes kurang zat makanan di Terengganu masalah seperti “cerebral palsy” dan “congenital anomalies”.

Ia meliputi 10 hingga 20% daripada kes kanak-kanak yang kurang zat makanan, kata Ahmad Razif ketika mengulas perkara itu pada Jumaat lalu.

"Selain itu sikap ibu bapa dan keluarga yang kurang cakna atau kurang mahir tentang keperluan pemakanan kanak-kanak juga faktor berlakunya isu KZM di negeri ini, bukan kerana kurang cakna kerajaan atau kemiskinan," katanya.

Tiada ulasan: