Selasa, 13 Mac 2018

PH terus ulangi manifesto kaburi mata rakyat - MT Umno

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) hanya bijak menabur janji kepada rakyat semata-mata untuk menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, demikian kata seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Bung Mokhtar.
 
Katanya, manifesto yang dilancarkan gabungan pembangkang itu Khamis lalu tidak relevan dan hanya dibuat untuk memberi harapan palsu kepada rakyat.
 
"Manifesto PH ini tidak berlandaskan fakta dan tuntutan rakyat Malaysia sendiri.
 
"Untuk mencari kuasa memang PH akan terus sentiasa menabur janji yang mereka rasa rakyat boleh menerima janji-janji itu walaupun pada hakikatnya mereka tidak akan dapat tepati.
 
"Kita tengok banyak contoh macam di Selangor dan Pulau Pinang," katanya kepada Antarapos.
 
PH telah memimpin Selangor dan Pulau Pinang selama dua penggal namun masih gagal melaksanakan janji-janji mereka terdahulu seperti memansuhkan tol dan memberikan pendidikan percuma kepada pelajar di institut pengajian tinggi (IPT).
 
Malah pada manifesto kali ini juga, parti itu sekali lagi berhasrat untuk mengulangi kedua-dua janji tersebut yang sebelum ini gagal dilaksanakan.
 
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga percaya rakyat hari ini sudah bijak untuk menilai parti mana yang mampu memimpin kerajaan dengan lebih baik.
 
"Sebahagian daripada manifesto PH juga sudah dilaksana oleh BN.
 
"Dalam pilihan raya ini memang parti masing-masing menawarkan harapan kepada pengundi, walau bagaimanapun saya rasa rakyat bijak melihat mana kerajaan yang betul-betul membawa kebaikan dan kerajaan mana yang cuma memberi harapan tetapi tidak akan melaksanakan apa yang telah dijanjikan," ujarnya lagi.
 
Antara kandungan manifesto itu adalah, mahu menyediakan 1 juta perumahan mampu milik dan mampu sewa, menghapuskan tol, memberikan pendidikan percuma, menghapuskan cukai GST, memberikan gaji minima RM1,500, mengehadkan tempoh dua penggal kepada jawatan perdana menteri dan menteri besar dan banyak lagi.
 
10 daripada keseluruhan 60 janji yang terkandung di dalam manifesto tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, sekiranya parti itu berjaya merampas Putrajaya pada PRU kali ini.
 
 

Tiada ulasan: