Rabu, 14 Mac 2018

PH mahu mansuh akta sekat kebebasan bersuara jika menang PRU14

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) akan memansuhkan undang-undang menyekat kebebasan bersuara di negara ini, jika gabungan pembangkang itu memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
 
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad juga berjanji akan memastikan media arus perdana bebas daripada kawalan parti politik.
 
“TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times dan media lain dibebaskan daripada cengkaman mana-mana parti politik.
 
“Tiada lagi undang-undang menyekat kebebasan bersuara. Ini antara tindakan yang akan diambil PH apabila dapat menjadi kerajaan,” katanya menerusi Policy Talk mengenai rasuah yang disiarkan secara langsung di Facebooknya hari ini.
 
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan akan menyemak semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi memastikan ia bersesuaian keadaan semasa.
 
Kali terakhir Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dipinda ialah 2012.
 
Beliau juga sedar kebanyakan media tradisional dianggap berat sebelah kepada kerajaan dalam berita yang dilaporkan.
 
Menteri dalam negeri itu berkata, 1 surat amaran tegas, 2 surat amaran, 14 surat teguran, 44 surat nasihat dan 4 surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada media dan pencetak tahun lepas.
 
 

Tiada ulasan: