Isnin, 12 Mac 2018

Penternak ikan sangkar rayu kerajaan Selangor turunkan caj lesen



Penternak-ikan-angkar
Gambar Facebook


PELABUHAN KLANG: Penternak ikan dalam sangkar di Pulau Ketam di sini, menyifatkan sikap kurang endah kerajaan Selangor dalam rundingan mengenai kadar caj tinggi Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang dikenakan bagaikan mahu menutup periuk nasi mereka.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Laut Malaysia (MFFAM), Mohamed Razali Mohamed yang mewakili 45 penternak berkata, caj 40 sen bagi 1 meter persegi sangkar itu amat membebankan, ekoran hasil pengeluaran ikan semakin menurun, di samping faktor ekonomi tidak menentu.

Beliau berkata, caj tinggi TOL menyebabkan penternak ikan sangkar tidak mampu melunaskannya dan hal itu turut menghalang mereka daripada memperbaharui lesen Sistem Kultur Laut (SKL) sehingga bayaran diselesaikan.

Katanya, tanpa lesen SKL, penternak tidak boleh mengoperasikan sangkar dan mengambil pekerja seperti biasa serta menjejaskan pendapatan golongan tersebut menyebabkan mereka lebih sukar menjelaskan caj TOL pada masa depan.

Disebabkan itu, beliau berkata, pelbagai rundingan dilakukan, namun menemui jalan buntu dan kini, perkara tersebut diburukkan lagi apabila penternak diberi notis rasmi perobohan sangkar oleh kerajaan negeri pada 21 Februari lepas kerana tidak membayar caj TOL.

“Sudahlah tidak menghiraukan rundingan kami, kerajaan negeri keluarkan pula notis mahu merobohkan sangkar di sini sebab penternak tidak bayar caj TOL.”

Menurut beliau, penternak di Pulau Pinang hanya dikenakan 30 sen dan Kedah 10 sen bagi setiap meter persegi.

“Kami merayu kerajaan Selangor turunkan caj tersebut kepada 20 sen bagi setiap meter persegi.

Kami bukan tidak mahu bayar TOL, cuma kadar yang dikenakan itu terlalu tinggi dan membebankan,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, kumpulan penternak itu mengadakan perhimpunan aman di Jeti Pulau Ketam bagi membantah caj tinggi TOL itu.

Pada 2015, kerajaan Selangor mengumumkan caj TOL RM2 bagi setiap meter persegi sangkar ikan akan dikenakan ke atas golongan berkenaan, namun kadar membebankan itu menyebabkan penternak membuat desakan lalu diturunkan kepada RM1 dan paling terkini, bayaran 40 sen bagi ukuran sama perlu dilunaskan mereka.

Sebanyak 20,000 sangkar kayu diusahakan 45 penternak di Pulau Ketam pada masa ini, dengan jumlah pengeluaran sekitar 64,000 tan metrik ikan jenis kerapu, merah dan jenahak.

Bagaimanapun, 9 penternak melibatkan 20% atau 4,000 sangkar terpaksa berhenti beroperasi tahun lepas kerana terbeban dengan caj TOL tersebut.

Seorang penternak, Lim Boon Kian, 40, mengakui caj tinggi itu menyebabkan beliau terpaksa menutup 1 daripada 8 sangkar ikannya dan jika kadar itu tidak diturunkan, perniagaan jualan ikan yang diusahakan sejak 10 tahun lepas boleh merudum dan muflis.

Beliau berkata, disebabkan isu caj TOL tidak diberi perhatian kerajaan negeri, pembaharuan lesen SKL setakat ini sering dibantu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

“Saya rasa amat terbeban sebab masa rundingan dulu, kerajaan negeri kata masih boleh bincang, tetapi baru-baru ini kami diberi notis perobohan sangkar yang akan dilakukan dalam tempoh 3 bulan lagi.

“Hasil ikan sekarang semakin turun. Dengan caj 40 sen, saya perlu bayar sekitar RM80,000 setahun. Itu belum masuk caj deposit yang 2 kali ganda daripada caj TOL, selain denda lewat bayar pun kena juga. Saya amat berharap isu ini boleh dibincang lagi.”

Tiada ulasan: