Khamis, 15 Mac 2018

Pengerusi SPR nafi persempadanan semula untungkan BN

Mohd-Hashim-Abdullah-spr
Gambar Facebook.


PUTRAJAYA: Adakah persempadanan semula kawasan pilihan raya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) berbanding parti pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14)?

Ini antara persoalan dikupas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah pada temu bual dengan Bernama menjelang PRU14.

Berikut merupakan intipati temu bual tersebut.

BERNAMA: Mengenai persempadanan semula bahagian pilihan raya, pada pandangan Tan Sri, adakah persempadanan baru itu sempat dilaksanakan pada PRU14?

HASHIM: Urusan Kajian Semula Persempadanan Negeri-Negeri Tanah Melayu tergendala hampir setahun lebih ekoran dicabar di mahkamah. Sebanyak 15 kes difailkan pihak tertentu untuk menghalang SPR melaksanakan urusan itu. Alhamdulillah, mahkamah membuat keputusan dan setakat ini SPR berjaya meneruskan urusan itu.

Untuk makluman, urusan pilihan raya dan kajian semula persempadanan adalah 2 perkara berbeza. PRU14 akan tetap diadakan walaupun kajian semula persempadanan tidak dapat disiapkan.

Persoalan sama ada ia dapat digunakan pada PRU14 bukannya ditentukan SPR. SPR bertanggungjawab menyediakan syor persempadanan semula bahagian pilihan raya dan setelah menyerahkan laporan akhir syor itu kepada perdana menteri, terpulang kepada perdana menteri untuk membawanya ke Dewan Rakyat bagi dibahas untuk mendapat kelulusan. Ia kuasa budi bicara perdana menteri untuk membentangkannya di Dewan Rakyat atau tidak dan bukannya kuasa SPR.

Sekiranya syor tersebut diluluskan dengan majoriti mudah iaitu lebih separuh di Dewan Rakyat dan mendapat perkenan serta ditandatangani oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, maka ia diwartakan untuk dikuatkuasakan dan dapat digunakan pada PRU14. Sebaliknya, jika Dewan Rakyat terbubar terlebih dahulu sebelum syor persempadanan semula diluluskan di Dewan Rakyat, maka persempadanan lama digunakan pada PRU13 akan diguna pakai.

BERNAMA: Apa pandangan Tan Sri mengenai dakwaan persempadanan semula itu bagi memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN)?

HASHIM: Dakwaan itu tidak benar sama sekali dan berunsur propaganda politik semata-mata. SPR melaksanakan urusan persempadanan semula untuk kepentingan rakyat dan pengundi. Bukannya untuk kepentingan mana-mana parti politik. Semua urusan dilakukan SPR adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang. Buktinya, lebih 15 kes difailkan di mahkamah bagi mencabar urusan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya dijalankan SPR telah ditolak dan keputusan menyebelahi SPR.

SPR menyediakan syor dan mempamerkannya, namun setiap pihak yang layak berhak untuk membuat bantahan dan bantahan mereka itu didengari dalam sesi siasatan tempatan yang diadakan. SPR akan mengambil kira setiap cadangan yang relevan untuk perubahan syor.

Kemenangan seseorang calon atau mana-mana parti bukannya ditentukan oleh persempadanan tetapi ditentukan oleh pengundi. Semasa kita membuat kajian persempadanan, ia mengambil kira beberapa prinsip termasuk kemudahan kepada pengundi dan wakil rakyat. Apabila SPR menang kes di mahkamah, ada pihak menggesa semua pengundi keluar mengundi pada PRU14 nanti kononnya bagi mengurangkan kesan manipulasi persempadanan semula.

Ini jelas menunjukkan kuasa pengundi adalah penentu mutlak kepada kemenangan seseorang calon, bukannya persempadanan. Pengundi mempunyai kuasa mutlak memilih berdasarkan penilaian mereka terhadap calon, parti dan juga keyakinan mereka terhadap calon yang akan mewakili mereka.

Persempadanan semula hanya bertujuan menentukan kawasan pentadbiran pilihan raya dan memastikan kemudahan kepada pengundi serta wakil rakyat bukannya untuk memastikan kemenangan atau kekalahan mana-mana pihak.

Jika dakwaan kononnya SPR menyebelahi parti BN dan boleh menentukan kemenangan parti itu, sudah pasti keputusan sebagaimana PRU12 dan PRU13 tidak berlaku di mana Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah jatuh ke tangan pihak parti lain. Kalaulah SPR bantu BN, sudah pasti mereka dapat menguasai 100% kerusi Dewan Rakyat atau dewan undangan negeri (DUN), namun itu semua tidak berlaku kerana SPR sebuah badan bebas dan berkecuali yang menjalankan pilihan raya dengan telus dan adil.

SPR sentiasa bersikap profesional dan tidak akan bertindak menyebelahi mana-mana pihak dalam menjalankan proses demokrasi.

BERNAMA: Pada PRU13, pelbagai berita palsu tersebar di media sosial seperti berlaku “blackout” di pusat pengiraan undi dan sebagainya. Pada PRU kali ini, apakah langkah SPR menangani penyebaran berita palsu seperti itu?

HASHIM: Setiap kali PRU isu sama juga akan dikitar semula pihak tertentu dengan tujuan menimbulkan keraguan dan ketidakyakinan rakyat kepada SPR dan sistem pilihan raya. Isu “blackout” terbukti satu fitnah dan didapati gambar disunting pihak tertentu untuk menjejaskan kredibiliti SPR, namun masih ramai percaya pembohongan itu kerana mereka tidak menerima maklumat tepat.

Begitu juga dakwaan kononnya 40,000 warga Bangladesh mengundi dalam pilihan raya, namun ia lenyap begitu sahaja selepas PRU13 dan tidak ada sebarang petisyen dikemukakan untuk membuktikannya. Tidak ada satu pun laporan polis dibuat dan bukti dikemukakan. Dalam sejarah pilihan raya di negara ini, isu ini tidak pernah dibawa dalam mana-mana petisyen pilihan raya.

Hakikatnya tohmahan tersebut tidak pernah pun dibuktikan mana-mana pihak sama ada di mahkamah atau luar mahkamah.

Menjelang PRU14 ini juga, ada pihak mendakwa PRU14 kononnya terkotor. PRU12 dulu pun terkotor tapi mereka dapat memerintah Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak. PRU13 pun terkotor juga tetapi mereka masih mengekalkan Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan serta menafikan majoriti 2/3 kerusi DUN di beberapa negeri. Kali ini PRU14 pun dikatakan terkotor. Sebenarnya inilah propaganda liar pihak tertentu untuk menyemai persepsi buruk dalam kalangan rakyat agar mencurigai sistem pilihan raya dan SPR.

Kali ini, SPR bersedia menangkis segala tohmahan ini dengan fakta dan menggunakan pendekatan lebih berkesan termasuk penggunaan media sosial. SPR juga menjalankan sesi penerangan dan penjelasan kepada pelbagai sasaran dan mereka kini memahami mereka selama ini tertipu dengan dakyah pihak tertentu.

Pada PRU14 ini juga SPR akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi menangani berita palsu tersebar termasuk melaporkannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap penyebar berita palsu yang menimbulkan kegemparan.

BERNAMA: PRU kali ini dikatakan sebagai “father of all elections”. Adakah terdapat elemen baru atau penambahbaikan dalam pengendalian PRU kali ini?

HASHIM: Pada PRU14, tiada peraturan baru diperkenalkan, tetapi hanya sedikit perbezaan berkaitan kaedah penggunaan dakwat pilihan raya. Pada PRU13 lalu, kaedah penggunaan dakwat pilihan raya adalah dengan cara mencalit dakwat tersebut pada jari pengundi, sebaliknya pada PRU14 nanti kaedah celupan jari ke dalam dakwat akan digunakan. Kaedah ini digunakan dalam setiap pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU13 dan juga semasa Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak Ke-11.

Selain itu, perkara baru pada PRU14 nanti adalah terdapatnya penambahan dalam kategori pengundi pos iaitu penambahan 9 kategori baru pengundi yang diberi kemudahan mengundi secara pos.

Mereka terdiri daripada anggota keselamatan, kesihatan dan perkhidmatan awam dalam bidang kritikal.

BERNAMA: Apakah nasihat Tan Sri sebagai Pengerusi SPR kepada parti politik yang akan bertanding dalam PRU14 memandangkan landskap politik negara amat sengit?

HASHIM: Kepada semua bakal calon parti politik atau bebas yang akan bertanding pada PRU14 akan datang, saya berharap mereka semua dapat mematuhi setiap peraturan dan undang-undang ditetapkan. Saya juga mengharapkan semua parti politik dan calon bakal bertanding untuk melantik wakil mereka sebagai ejen bagi memerhati proses pengundian dan pengiraan undi semasa pilihan raya nanti.

Bila tiba masa pilihan raya nanti, berkempenlah secara bersih dan elakkan kempen berunsur fitnah, menghasut dan sebagainya yang boleh menimbulkan suasana tegang.

BERNAMA: Harapan Tan Sri kepada semua pihak terutamanya pengundi dan pemimpin parti politik?

HASHIM: Kepada rakyat, tapis setiap maklumat yang diterima di media sosial kerana kebanyakkan maklumat di media sosial tidak sahih, palsu dan mempunyai tujuan tertentu yang mungkin boleh menimbulkan kegusaran rakyat dan pengundi.

Kepada pemilih berdaftar, mereka disaran sentiasa menyemak status maklumat daftar pemilih mereka bagi mengetahui tempat pengundian mereka pada PRU14 nanti agar tidak menjadi kelam kabut pada saat akhir. Jika ada kesilapan, segera maklumkan atau buat aduan kepada SPR untuk diperbetulkan.

Kepada pengundi, anda diseru supaya keluar mengundi pada PRU14 nanti. Jangan sia-siakan hak mengundi anda dan mengundilah dengan bijak. Jangan persiakan hak anda sebagai warganegara, gunalah hak mengundi anda untuk menentukan kepimpinan dan kerajaan memerintah. Undilah dengan bijak, jangan merosakkan undi anda hanya kerana anda kecewa terhadap sesuatu perkara atau kepada mana-mana pihak.

Kepada semua pemimpin parti politik, saya menyeru mereka dapat menjaga suasana keharmonian dan ketenteraman awam sepanjang masa, khususnya semasa pilihan raya nanti. Ini kerana, setiap tindakan mereka menjadi panduan dan ikutan ahli dan penyokong mereka.

Mereka juga diingatkan sentiasa mematuhi setiap peraturan dan undang-undang berkaitan semasa pilihan raya nanti agar tidak melakukan perkara boleh menjejaskan peluang mereka bertanding dalam pilihan raya. Mereka juga diharap dapat bersama-sama menyampaikan mesej menggalakkan pengundi keluar mengundi dan tidak mensia-siakan undi mereka.

Tiada ulasan: