Isnin, 12 Mac 2018

Pemuda mahu jual syiling lama ditipu RM750

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUANTAN: Seorang pemuda yang mahu menjual koleksi syiling lamanya kerugian RM750 ditipu ‘pembeli’ dalam urus niaga menerusi media sosial, tiga hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata lelaki berusia 21 tahun itu bersetuju untuk menjual syiling lamanya kepada seorang individu yang menggunakan nama ‘Michael’ selepas melihat iklan di laman sosial Instagram.

Mangsa kemudiannya menghubungi Michael menerusi WhatsApp dan hasil perbincangan, mereka mencapai persetujuan pada harga RM25,000, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

“Mangsa telah memberikan butiran peribadi termasuk nombor akaun bank kepada Michael. Tidak lama kemudian, suspek menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pengadu mendakwa duit telah dimasukkan.

“Bagaimanapun suspek mendakwa transaksi itu ‘pending’ kerana akaun mangsa baharu kali pertama berurusan dengan bank luar negara dan dia perlu memasukkan RM750 bagi tujuan mengaktifkan akaun CIMB tersebut,” katanya.

Mohd Wazir berkata mangsa kemudian memasukkan wang itu ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek namun diminta pula memasukkan RM1,500 lagi menyebabkan mangsa berasa curiga dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera dekat sini, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun dan dengan sebatan dan juga boleh didenda jika disabitkan kesalahan.–Bernama

Tiada ulasan: