Isnin, 12 Mac 2018

Peguam PPBM akan umum langkah jawab notis JPPM

 
Peguam PPBM, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, berkata beliau sudah menjangkakan tindakan JPPM itu dan pihaknya akan memberi pandangan undang-undang tentang langkah yang boleh diambil di mahkamah.


ppbm-parti-pribumi-bersatu-malaysia

PETALING JAYA: PPBM akan mengumumkan langkah untuk menjawab notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang meminta parti itu menyerahkan laporan dan dokumen berkaitan bagi mengelakkan pembubaran, minggu depan.

Peguam PPBM, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, berkata pihaknya perlu berbincang dengan pimpinan parti sebelum mengumumkan langkah itu.

“Saya sudah ada langkahnya, cuma belum maklum kepada pucuk pimpinan (PPBM) lagi.

“Dalam minggu depan, kami akan maklumkan langkah-langkah yang akan diambil selepas berunding dengan pimpinan PPBM. Saya takkan ulas lagi sekarang,” katanya kepada FMT.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan PPBM akur dan mengikut arahan JPPM dengan menyerahkan semua laporan atau dokumen berkaitan bagi mengelakkan parti itu dibubarkan.

Menteri dalam negeri itu berkata, JPPM hanya mengambil tindakan berdasarkan perlembagaan PPBM dan Akta Pertubuhan 1966.

Bagaimanapun, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, mereka akan melaksanakan pelan alternatif jika JPPM mengambil keputusan membubarkan parti itu.

“Kita ada pelan B dan C, dan kita akan perkenalkan cara ini apabila kita sudah diberitahu (PPBM dibubarkan)…kita kena guna cara lain,” katanya pada Program Jelajah Harapan Kelantan semalam.

Kelmarin, Ketua Pengarah JPPM, Surayati Ibrahim, berkata notis di bawah Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan mengkehendaki PPBM menjawab serta menyerahkan maklumat dan dokumen seperti minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti untuk melengkapkan siasatan.

Katanya, notis itu dikeluarkan susulan aduan “ahli PPBM” kepada JPPM dan tindakan susulan akan diambil di bawah Seksyen 14(5) untuk mengeluarkan perintah pembubaran terhadap PPBM, jika gagal menyerahkan maklumat dan dokumen diminta.

JPPM pada 12 Januari lepas berkata, pihaknya sedang menyiasat lebih 400 aduan berkaitan perhimpunan agung tahunan (AGM) pertama PPBM yang diadakan 30 Disember lalu.

Media melaporkan aduan itu membabitkan 5 perkara iaitu pelaksanaan AGM, pendaftaran keahlian tanpa pengetahuan penama, yuran keahlian, kronisme dalam pelantikan ketua bahagian dan kegagalan mengemukakan penyata kewangan.

Mengulas lanjut, Haniff berkata, beliau sudah menjangkakan tindakan JPPM itu.

“Saya cuma kata perkara ini kita sememangnya boleh agak dah akan dilakukan oleh sebuah agensi yang membenarkan dirinya diperalatkan kerajaan.

“Tetapi, kami akan memberi pandangan undang-undang tentang apakah langkah yang boleh diambil di mahkamah.”

Beliau menasihatkan semua pihak supaya bersabar dan memberi ruang kepada PPBM untuk berbincang.

“Jangan lupa kami sudah memfailkan tuntutan tindakan saman pemula untuk memohon beberapa jenis tindakan terhadap JPPM berkaitan macam mana mereka kendalikan isu-isu berkaitan PPBM seperti ini.

“Kami ambil maklum notis itu dan kami sudah agak tindak-tanduk ini dan bersedia hadapi proses undang-undang lanjut.”

Pada 22 Februari lalu, PPBM memfailkan saman pemula terhadap JPPM atas dakwaan melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta Pertubuhan.

Haniff dilapor mengemukakan 5 sebab utama tindakan undang-undang diambil terhadap badan kerajaan itu yang dikatakan “berniat jahat” terhadap PPBM, dengan meminta mahkamah membuat 4 pengisytiharaan dan 1 perintah halangan terhadap JPPM, bertujuan memastikan badan itu bertindak selaras undang-undang.

“Yang pertama, PPBM memohon 1 perintah deklarasi JPPM bertanggungjawab menjalankan kuasa seperti diberikan dan diselia di bawah Akta Pertubuhan.

“Ke-2, sekiranya ada apa-apa aduan atau siasatan yang perlu dilakukan terhadap PPBM, maka JPPM bertanggungjawab mengikut prosedur sedia ada di bawah Akta Pertubuhan.”

Katanya, pengisytiharaan ke-3 ialah tindakan JPPM mengeluarkan kenyataan awam berbaur niat jahat atau “mala fide” melanggar Akta Pertubuhan.

“Yang ke-4, mana-mana aduan terhadap PPBM hendaklah disiasat di bawah peruntukan perundangan sama.

“Perintah halangan yang dipohon akhir sekali adalah sehingga mahkamah membuat keputusan, maka JPPM tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan awam yang memberi ketidakjelasan atau menimbulkan salah faham orang awam berkaitan kedudukan PPBM.”

Tiada ulasan: