Isnin, 12 Mac 2018

PAS tawar Maria Chin kerusi untuk bertanding

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Suhaimi Embong menawarkan bekas pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah untuk bertanding di bawah Gagasan Sejahtera, sebuah gabungan parti politik pimpinan PAS.
 
Mohd Suhaimi membuat tawaran itu selepas maklum Maria berhadapan cabaran dalam mendapat kerusi daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).
 
"HARAPAN (PH) berdolak-dalik...tapi bagi Gagasan Sejahtera, kami akan benarkan beliau bertanding," kata beliau pada suatu majlis PAS di Lembah Pantai, Kuala Lumpur semalam.
 
Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohd Suhaimi berkata PAS bersedia berbincang syarat-syaratnya dengan Maria jika beliau mahu bertanding di bawah Gagasan Sejahtera.
 
"Kami akan tawarkan kerusi kepada NGO lain...PAS terbuka, PAS selalu terbuka," katanya dipetik Malaysiakini.
 
Mohd Suhaimi juga berkata PAS turut bersedia menawarkan sebuah kerusi kepada bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang dipecat daripada PKR.
 
Maria secara rasmi meletakkan jawatan sebagai pengerusi BERSIH pada 6 Mac lalu.
 
Beliau mahu bertanding kerusi parlimen supaya dapat menjadi wakil masyarakat sivil di Dewan Rakyat.
 
Maria tidak berhasrat menyertai mana-mana parti politik tetapi sedang berbincang dengan PH agar menawarkan kerusi kepadanya.
 
Namun, PKR menekankan agar beliau menyertai parti itu terlebih dahulu tetapi membayangkan mereka bersedia berbincang walau pun beliau enggan menyertai parti.
 
 

Tiada ulasan: