Rabu, 14 Mac 2018

PAS mahu pramugari pakai seragam sopan, tidak seksi

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS menggesa pramugari Islam menutup aurat dan yang bukan Islam berpakaian sopan supaya kejadian penumpang melakukan “aksi yang menjijikkan” seperti dalam penerbangan Malindo Airlines ke Dhaka dapat dielakkan.
 
Ketua Wanita PAS Nurida Mohd Salleh berkata pemakaian seksi dan kurang sopan pramugari Islam terutamanya dalam syarikat penerbangan Malaysia langsung tidak menggambarkan kemurnian Islam yang menjadi agama Persekutuan.
 
“Terkini kes dilaporkan seorang penumpang penerbangan Malindo Airlines ke Dhaka melakukan aksi yang menjijikkan apabila menyerang pramugari selepas menonton filem lucah melalui komputer ribanya.
 
“Jika dilihat secara dasarnya, hal ini pasti boleh dielakkan sekiranya pramugari mengenakan pakaian yang sopan dan tidak mencolok mata sehingga menaikkan nafsu syahwat mata memandang,” katanya dalam satu kenyataan dipetik Harakahdaily.
 
Nurida berkata PAS menggesa pihak syarikat penerbangan Malaysia mengkaji semula etika pemakaian bagi seorang pramugari sama ada Islam atau bukan Islam.
 
“Agar mematuhi syariah dan juga memberikan keselesaan semasa bertugas.
 
“Keutamaan untuk menjaga maruah dan peribadi pramugari dengan menampilkan pemakaian sopan dan menutup aurat ini menghasilkan impak positif sekali gus membina akhlak saling menghormati antara penumpang dan anak kapal yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan budaya,” katanya.
 
Beliau berkata PAS memandang positif langkah ini mampu menampilkan imej Islam yang sentiasa meninggikan darjat dan kedudukan wanita.
 
“Dakwah juga dapat disampaikan secara tidak langsung kepada semua penumpang melalui pakaian yang sopan dan menutup aurat.”
 
Katanya, gangguan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak di seluruh Malaysia seolah-olah ia menjadi ketagihan tidak bernoktah dalam masyarakat kini.
 
“Muslimat PAS mengemukakan cadangan etika pemakaian pramugari Muslim mestilah menutup aurat (termasuk memakai tudung), manakala bagi yang bukan Islam, mestilah berpakaian sopan, tidak terlalu ketat dan singkat.
 
“PAS menyeru dan mengajak semua pihak agar merasa bertanggungjawab dalam memastikan aurat dan maruah wanita terpelihara khususnya buat wanita Islam serta seluruh wanita umumnya,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: