Isnin, 12 Mac 2018

Muhyiddin: Jika berita 1MDB palsu, kenapa tiada tindakan sejak 2016?



Muhyiddin_ppbm_twitter
Gambar Twitter


PETALING JAYA: Menjawab amaran penyebaran berita palsu terutama berkaitan 1MDB, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kenapa tiada tindakan diambil sejak 2016 jika laporan dan kenyataan sebelum ini didakwa “berita palsu”.

Presiden PPBM itu mengingatkan isu 1MDB dilaporkan bukan sahaja oleh media tempatan tetapi juga media antarabangsa.

“Jangan guna dalih ‘berita palsu’. Sudah hampir 2 tahun kenapa tak ambil tindakan?” katanya di sidang media kemasukan pensyarah Dr Maszlee Malik ke PPBM hari ini.

“Kadang-kadang berita palsu bukan dari kita tetapi dari ‘sana’ (Barisan Nasional) sebab tidak ada cara nak sangkal dakwaan yang dikemukakan,” tambahnya.

Semalam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pihak yang terus menyiarkan berita palsu terutama berkaitan 1MDB.

Timbalan Menteri Datuk Seri Jailani Johari berkata kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang memantau media yang dikenal pasti seperti Wall Street Journal, New York Times dan MSNBC dari Amerika Syarikat, The Economist dari United Kingdom, dan Australian Broadcasting Corporation (ABC) dari Australia.

Menurut Jailani, media asing tersebut menyiarkan berita palsu mengenai 1MDB “sejak minggu lepas” walaupun “semua maklum” kes 1MDB disiasat pihak berkuasa dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati dakwaan penyalahgunaan wang dana itu tidak benar sama sekali.

Jom debat manifesto

Sementara itu, Muhyiddin berkata pandangan negatif BN tentang manifesto Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan Khamis lepas sudah dijangkakan.

Namun begitu pendangan negatif itu tidak mengurangkan kemampuan PH berbanding BN kerana “kita ada cendekiawan dan pakar yang boleh menganalisis ekonomi.

“Yang penting rakyat lihat tawaran PH yang sukar untuk ditolak,” katanya.

Menyambut kenyataan itu, Ketua Biro Strategi dan Dasar Datuk Rais Hussin mengajak BN berdebat mengenai manifesto masing-masing.

“Selepas keluar manifesto BN, kami mahu adakan debat bersama penulis manifesto mereka dengan kita. Kalau berani ambil cabaran ini,” katanya.

Tiada ulasan: