Isnin, 12 Mac 2018

Malaysia anggap media asing siarkan berita palsu tentang 1MDB

THE MALAYSIA INSIGHT

Malaysia anggap media asing siarkan berita palsu tentang 1MDB
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Jailani Johari hari ini mengatakan media asing menyiarkan berita palsu berkaitan 1MDB kerana mahu mencemarkan nama baik Perdana Menteri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight,
 
MEDIA asing menyiarkan berita palsu tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana mahu mencemarkan nama baik Perdana Menteri Najib Razak menjelang pilihan raya, kata seorang timbalan menteri hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Jailani Johari memberi amaran kepada media asing supaya menghentikan penyiaran berita palsu mengenai 1MDB yang terpalit skandal hutang dan dakwaan wangnya dirompak dan digunakan untuk membeli kapal layar mewah dan menerbitkan filem.

“Kementerian telah kenal pasti beberapa portal berita dalam talian cuba menyemarakkan kembali isu 1MDB, susulan rampasan kapal layar mewah itu. Antara portal itu adalah Wall Street Journal, New York Times, The Economist, Australian Broadcasting Corporation (ABC) dan terbaharu MSNBC,” katanya seperti dipetik akhbar Sinar Harian hari ini.

Jailani berkata penyebaran berita palsu berkaitan 1MDB dilakukan untuk mencemarkan nama baik dan kewibawaan Najib.

“Kerajaan sedang berusaha untuk menangani gejala fitnah dan berita palsu dalam negara, sebaliknya beberapa isu pula disemarakkan oleh sumber-sumber dari luar negara,” katanya.

Katanya, berita palsu mengenai 1MDB dikesan sejak minggu lepas.

“Kita percaya ini adalah sebahagian daripada usaha pihak tertentu yang mempunyai agenda politik, yang cuba fitnah dan mencemar nama baik perdana menteri kita menjelang PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) tidak lama lagi,” kata Johari.

Katanya, kementerian sedang memantau situasi itu menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan menasihati portal berkenaan segera menghentikan penyiaran berita palsu mengenai 1MDB.

“Hasil siasatan kes 1MDB telah dibuktikan bahawa dakwaan penyalahgunaan dan kehilangan wang tersebut tidak benar. Kes itu disiasat oleh pihak berkuasa termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai ahli Parlimen pembangkang,” tambahnya lagi.

Isu 1MDB yang pernah diterajui Najib kembali hangat diperkatakan minggu lepas selepas pihak berkuasa Indonesia menyita kapal layar mewah milik ahli perniagaan Low Taek Jho di Bali.

Menurut laporan media, pihak berkuasa menyita kapal layar itu kerana permintaan penyiasat AS dalam salah laku dan rompakan dana 1MDB.

Jurucakap polis Indonesia Muhammad Iqbal Abduh berkata mereka bertindak kerana memenuhi permintaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk menguatkuasakan arahan mahkamah bertarikh 21 Februari.

Pada 1 Mac lepas, Wall Street Journal mendedahkan butiran email peraih dana Republikan meminta bayaran sehingga AS$75 juta daripada Low untuk menghentikan siasatan AS ke atas 1MDB.

Akhbar perniagaan Amerika itu mengatakan ia email itu mengandungi perbincangan antara penderma Republikan dan sekutu baik Presiden Donald Trump, Elliot Broidy dan isterinya, Robin Rosenzweig, seorang peguam.

“Mesej itu termasuklah draf perjanjian antara firma guaman Rosenzweig dan wakil Low tentang syarat yang bakal dipersetujui dalam hubungan perniagaan itu. Dalam satu draf, ada cadangan yang memasukkan bayaran upah sebanyak AS$75 juta sekiranya Jabatan Kehakiman menghentikan siasatan,” lapor WSJ.

Saluran berita Amerika, MSNBC turut melaporkan rampasan kapal layar Low, Equanimity.

Penyampai berita stesyen itu, Rachel Maddow juga menyimpulkan bagaimana AS$680 juta ditemui dalam akaun peribadi Najib dan tiada tindakan diambil kerana ia “derma keluarga diraja Arab Saudi”.

Majalah The Economist pula menyiarkan laporan bertajuk "Malaysia's PM is about to steal an election" pada 8 Mac lalu, menyatakan kerajaan pemerintah dijangka terus menang PRU14 walaupun AS$4.5 bilion milik dana pelaburan negara hilang.

Tiada ulasan: