Rabu, 21 Mac 2018

Mahathir Kata Anwar Terlalu Tua Untuk Jadi PM


MYNEWSHUB.CC
 Tun M - Anwar

 KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menegaskan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah terlalu tua untuk menjadi seorang Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

 

Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, Mahathir berkata demikian dalam satu temuramah dengan media asing The Australian pada 11 April 2016.

Berdasarkan laporan media asing itu, Mahathir dengan jelas menyebut Anwar yang berusia 68 tahun ketika itu tidak boleh menjadi Perdana Menteri jika pembangkang berjaya menumbangkan kerajaan kerana sudah terlalu tua.

Kamarul Zaman berkata, Mahathir pernah menyatakan perkara sama ke atas Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat pada April 2013 seperti berikut:

“Ini salah orang yang kononnya Tok Guru tapi tak tau ajar Islam, nama je Tok Guru, bila bercakap, bohong, bila tafsir Qur’an, pun bohong, bila buat fatwa, pun bohong.

“Saya ingat dia dah nyanyuk. Saya ni umur 87, dah tua dah, kalau tengok ni nampak tua, berapa kali jatuh tadi. Ini dah umur 82, nak berdiri pun dah tak boleh, masih nak bertanding lagi, sampai bila-bila, apa jenis manusia ini”

Mahathir ketika ini sedang gigih berkempen di media sosial bagi mempertahankan dirinya yang sudah berusia 93 tahun masih layak menjadi Perdana Menteri selepas PRU14.

Beliau berjaya mempengaruhi pimpinan Pakatan Harapan mencalonkan diirnya sebagai calon Perdana Menteri pembangkang pada Januari lalu.

Pimpinan Pakatan Harapan mempercayai janji Mahathir beliau mampu mendapatkan sokongan orang Melayu untuk pembangkang dan hanya mahu menjadi Perdana Menteri sementara.

Mahathir berjanji kepada Pakatan Harapan jawatan Perdana Menteri kemudian akan diserahkan kepada Anwar.

Kamarul seterusnya mengingatkan Mahathir dalam satu wawancara dengan akhbar tempatan pada 23 April 2017 memaklumkan dirinya juga sudah terlalu tua untuk jadi Perdana Menteri. – MYNEWSHUB.CC

Tiada ulasan: