Selasa, 13 Mac 2018

Lebih 20 tahun tunggu pampasan tanah, penduduk tertipu janji kerajaan BN di Sepanggar


 Oleh

Lebih 20 tahun lalu, tanah penduduk Teluk Sabang di Kampung Sabang, Kampung Lok Madas dan Kampung Lok Butah terlibat dalam pengambilan tanah bagi projek Pengkalan Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia di Sepanggar, Sabah.

Seramai 708 orang yang terlibat dalam pemindahan itu telah dijanjikan saguhati dan pampasan tapak lot rumah oleh kerajaan negeri yang terletak di kampung seberang iaitu Kampung Numbak.

Persoalannya, walaupun kawasan itu telah diukur dan diluluskan kerajaan negeri sebagai tapak kediaman baru, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah memohon untuk memiliki tanah tersebut tanpa mengadakan rundingan dengan penduduk.

Menurut Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin, penduduk merasa terkejut dan marah apabila terpaksa keluar dari tapak tanah yang dijanjikan ekoran arahan DBKK melalui surat bertarikh 27 April 2016.

“Apabila penduduk sudah masuk tapak rumah. Tiba-tiba datang surat daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK)! Mengapa DBKK tiba-tiba masuk campur?

“Kementerian sudah bayar (pampasan) kepada Kerajaan Negeri. Tapak rumah telah dijanjikan. Tetapi apa sudah jadi dengan tapak rumah? Saya harap SPRM boleh siasat perkara ini. Mungkin ada yang mahu jadi vacuum cleaner!” katanya dalam perbahasan Parlimen semalam.

Surat DBKK dengan nombor rujukan DBKK.JP:700-1/4/3 klt 36 itu memberi Arahan Untuk Meroboh Dan Mengalihkan Struktur/Bangunan Di Bawah Undang-Undang Kecil (Bangunan) Bandaraya Kota Kinabalu, 1951.

Penduduk  kata Penasihat DAP Sabah itu berasa tertipu dengan janji kerajaan tambahan pula telah pun mengumpul wang sebanyak RM200,000 bagi kerja-kerja menambak kawasan yang dijanjikan.

“Satu keluarga keluarkan wang sendiri RM500. Ada yang terpaksa gadai rantai, cincin emas. Mereka bukan orang kaya. Ada yang gadai cincin, rantai emas. Terpaksa buat demi tapak rumah. Tetapi apa yang berlaku amat mengejutkan!” katanya.

Sehubungan itu Jimmy menggesa Kementerian Pertahanan supaya mencari jalan penyelesaian terbaik  supaya penantian dua dekat pampasan tanah kepada penduduk miskin Kampung Numbak diselesaikan.

“Saya ingin bertanya kepada menteri, apakah status pampasan tanah kepada penduduk ini dan bolehkah menteri beri jaminan supaya isu ini diselesaikan segera?

“Mereka pun sudah lama sangat tunggu. Tapi tiada apa-apa jawapan. Sudah lebih 20 tahun. Sangat lama. Ada orang sudah meninggal dunia mati. Ada orang sudah pindah. Ada orang sudah dapat cucu. Cucu pun sudah kawin….” kata beliau.

Jimmy turut menegur Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris yang dilihat gagal menyelesaikan masalah pengundi di kawasannya sehingga terpaksa meminta bantuan DAP.

“Dalam masa 21 tahun, sepatutnya isu penempatan semula ini sudah selesai. Tapi lain pula jadi! Saya mohon YB Sepanggar beri penjelasan. Rakyat di kawasan YB menunggu janji-janji yang diberikan.

“Adakah YB tidak kasihan sama orang kampong? Saya amat harap YB dapat bantu. Kalau tidak boleh bantu, DAP boleh bantu,” katanya lagi. – Roketkini.com


Tiada ulasan: