Isnin, 12 Mac 2018

Khalid Ibrahim tegaskan pendirian tidak bertanding pada PRU14



tan-sri-khalid-ibrahim-tak-bertanding
Gambar Facebook.


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kini tidak berparti, hari ini mengulangi pendirian tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) walaupun mengaku “disunting” beberapa pihak berbuat demikian.

Katanya, beliau mahu memberi peluang kepada orang lain dan menumpukan perhatiannya kepada kerja sosial selepas ini.

“Parti lama saya (PKR) pun ada jumpa saya, parti PAS pun ada tanya (berkenaan bertanding) tetapi saya buat keputusan untuk tidak bertanding,” kata bekas Menteri Besar Selangor itu kepada Bernama ketika ditemui di Bangunan Parlimen hari ini.

Abdul Khalid, 72, berkata setelah lebih 10 tahun menjadi ahli Parlimen di Bandar Tun Razak, kawasan itu wajar mendapat nafas baharu daripada pemimpin baharu lebih muda dalam usaha menjaga kepentingan pengundi di situ.

“Jadi saya rasa sudah cukup masa dan ingin memberi peluang tugas ini kepada mereka yang berminat jadi ahli parlimen di kawasan tersebut,” katanya.

Pada PRU12, Abdul Khalid yang bertanding di bawah tiket PKR menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Tan Chai Ho dengan majoriti 2,515.

Beliau kemudian mempertahankan kerusi itu pada PRU13 dengan menang majoriti 11, 832 undi dalam pertandingan 4 penjuru antara BN, PKR dan 2 calon Bebas.

Abdul Khalid yang merupakan ahli korporat terkemuka negara sebelum menceburi politik pada 2007 dipecat daripada PKR pada 9 Ogos 2014 kerana mengingkari keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR yang sebulat suara memilih Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Tiada ulasan: