Isnin, 12 Mac 2018

Ketua Wanita Umno keliru fahami menifesto Pakatan Harapan



Ketua Wanita Umno keliru fahami menifesto Pakatan Harapan



Wanita Pakatan Harapan (PH) menyifatkan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil terkeliru memahami manifesto PH khususnya mengenai skim caruman untuk suri rumah apabila menyatakan golongan ini berisiko dikenakan cukai pendapatan.

Timbalan ketuanya, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Shahrizat sendiri mungkin tidak meneliti Skim Simpanan Persaraan 1 Malaysia (SSP1M) di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang turut meletakkan suri rumah dalam kategori Golongan Yang Bekerja Sendiri dan Tiada Pendapatan Tetap.

Selain itu katanya, sumbangan yang boleh dicarum dalam SSP1M pula tidak tetap dan bergantung kepada kemampuan kewangan tetapi dengan amaun minimum RM50.

Dari sini tidak timbul soal cukai pendapatan yang berkemungkinan dikenakan terhadap golongan suri rumah, ujar beliau.

“Kewajipan suami untuk mencarum kepada isteri sebanyak dua peratus daripada caruman KWSP juga tidak boleh dianggap sebagai isteri pekerja kepada suami seperti yang didakwa Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

“Sebaliknya, ini antara beberapa langkah progresif PH untuk menyediakan pelan keselamatan kepada isteri dan anak-anak sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini pada masa akan datang.

“Walau bagaimanapun, perlu dijelaskan di sini bahawa caruman suri rumah yang PH perkenalkan ini cukup berbeza dengan SSP1M,” kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

Hal ini kerana jelas beliau, merujuk manifesto PH, mengenai caruman suri rumah, mereka bakal menerima bantuan RM50 serta potongan 2 peratus dari akaun KWSP suami setiap bulan.

Tetapi SSP1M pula ketika ini tambahnya, cuma menerima sumbangan daripada kerajaan sebanyak 15 peratus dari amaun caruman. Sumbangan itu pula terhad kepada jumlah maksimum sebanyak RM250 setahun.

“Wanita PH percaya tawaran kebajikan ini mampu dicapai dengan syarat masalah rasuah, ketirisan dan sebagainya yang melibatkan kewangan negara segera dipulihkan apabila PH menguasai pentadbiran Kerajaan Pusat.

“Banyak insentif untuk membantu golongan wanita termasuk suri rumah sudah dilaksanakan di Selangor dan Pulau Pinang, dan semakin menunjukkan keberkesanannya. Contoh terdekat adalah insentif Selangor memberikan sumbangan RM200 sebulan kepada golongan ibu berpendapatan bawah RM2,000, ” kata Ahli Parlimen Kota Raja itu.

Di Pulau Pinang pula jelasnya, bantuan sebanyak RM15 juta pula diperuntukkan kepada golongan ibu yang bekerja. Bagi golongan ini yang bekerja sehingga umur 60 tahun dan mempunyai anak sehingga berusia enam tahun pula akan diberi insentif tunai sebanyak RM300 setahun.

Maka katanya, sudah jelas apa yang ditawarkan oleh PH dalam manifesto bukan suatu angan-angan kosong dan boleh mengganggu kewangan negeri.

Sebaliknya, saban tahun, peningkatan insentif berkualiti telah ditingkatkan berdasarkan kepada keperluan semasa dan kepentingan rakyat, ujarnya.

Walau bagaimanapun katanya lagi, PH khususnya dari sayap wanita akan meneruskan perbincangan dan penelitian untuk memberi nilai tambah dalam setiap tawaran kebajikan kepada rakyat.

“Beberapa perbincangan lanjutan mengenai manifesto ini akan diadakan selepas ini secara langsung melalui FB rasmi yang akan dimaklumkan kemudian.

“Perbincangan itu nanti juga akan menjemput ahli ekonomi dan tokoh yang berpengalaman untuk memberikan saranan dan kritikan yang akan dimanfaatkan,” kata beliau.

Tiada ulasan: