Ahad, 25 Mac 2018

Kanak-kanak maut disambar buaya ketika mandi sungai

 
Mangsa berusia 8 tahun itu ditemui anggota bomba di lokasi kejadian pada 6.45 petang dengan kesan gigitan di kaki kanan mangsa.


Gambar Reuters.

MIRI: Niat memancing serta mandi bersama rakan untuk mengisi masa lapang semasa cuti sekolah berakhir dengan tragedi, apabila seorang kanak-kanak lelaki mati lemas selepas dipercayai disambar seekor buaya di sungai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng, Terry Robson Forante Nyangau berkata, Mohd Fairus Muhamad Dais, 8, mandi selepas memancing bersama 4 rakan lain dalam kejadian 4.30 petang di Jalan Mulia 5C, Tudan.

“Mengikut cerita rakan mangsa, ketika kejadian, mangsa sedang mandi di sungai apabila tiba-tiba badan mangsa ditarik seekor haiwan dipercayai buaya,” katanya malam ini.

Terry berkata, mangsa berjaya ditemui anggota bomba di lokasi kejadian pada 6.45 petang dengan kesan gigitan dijumpai di kaki kanan mangsa.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat dan mengesahkan ada kesan gigitan di bahagian betis kanan mangsa.

Tiada ulasan: