Jumaat, 16 Mac 2018

Kanak-kanak di Miri meninggal dunia dijangkiti difteria

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
MIRI: Seorang kanak-kanak berusia lebih dua tahun disahkan meninggal dunia kerana dijangkiti difteria di sini, kelmarin.
 
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan itu dijangkiti difteria kerana tidak mendapat pelalian bagi difteria sejak lahir.
 
"Siasatan awal mendapati keluarga mangsa enggan mendapatkan pelalian atas dasar kepercayaan agama.
 
"Mangsa mula mengalami gejala demam, batuk, selesema dan kesukaran bernafas selama tujuh hari sebelum meninggal dunia kelmarin," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 
Difteria berpunca daripada bakteria 'Corynebacterium diphtheria' yang disebarkan melalui titisan cecair pernafasan dan menjangkiti tekak (tonsil dan farink).
 
Bakteria tersebut akan menghasilkan toksin menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan kanak-kanak sukar bernafas.
 
Toksin dihasilkan bakteria difteria boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis).
 
Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 32 kes positif difteria telah dilaporkan di seluruh negara dengan tujuh atau  22 peratus kematian direkodkan.
 
Katanya, majoriti iaitu 75 peratus  kes dan kematian akibat penyakit itu adalah berpunca komuniti yang menolak pelalian bagi mencegah jangkitan itu.
 
Tambahnya, pemberian pelalian difteria yang lengkap ialah pada usia dua, tiga, lima dan 18 bulan mampu mencegah daripada penyakit tersebut.
 
"Jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang sangat tinggi tetapi pelalian difteria yang lengkap mampu mencegah jangkitan ini.
 
"Sekiranya dijangkiti, gejala adalah ringan dan tiada komplikasi. Justeru,  bapa dan masyarakat diminta memastikan anak-anak di bawah usia tujuh tahun diberikan imunisasi yang lengkap," katanya.
 
 

Tiada ulasan: