Selasa, 13 Mac 2018

Google, Facebook Patut Kena Bayar Cukai Di Malaysia


MYNEWSHUB




PUTRAJAYA – Cadangan untuk mengenakan cukai iklan terhadap pentadbir enjin carian Google dan laman sosial popular Facebook akan diserahkan kepada pihak jemaah Kabinet pada Rabu.

 

Jaminan itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri ketika menjawab saranan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai.


“Saya akan membawa perkara ini kepada Kabinet untuk perbincangan esok (14 Mac),” katanya pada sesi dialog Majlis Makan Tengah bersama Ketua-Ketua Pengarang dan Pemegang Permit Penerbitan di sini pada Selasa.

Cadangan tersebut dibangkitkan oleh Chun Wai yang juga Pengarah Urusan syarikat media tersebut sambil menegaskan bahawa kerajaan Vietnam mengenakan cukai ke atas iklan yang diposkan di Facebook dan Google.

“Saya berharap dapat dibawa kepada pihak Kementerian Kewangan, sila laksanakan cukai terhadap mereka ini kerana kedua-duanya tidak pernah bayar cukai pun tetapi rakyat Malaysia pula dikenakan cukai,” jelas beliau.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Google dan Facebook mengawal hampir 70 peratus daripada perbelanjaan iklan digital di Malaysia. Mereka mengaut keuntungan tanpa perlu membayar cukai seperti syarikat media tempatan.

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata pihak media dan kerajaan perlu bekerjasama untuk menyelesaikan pelbagai cabaran yang dihadapi operator media cetak dan elektronik berikutan kewujudan media alternatif cukup berleluasa.

Tahun lepas, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan satu surat peringatan tegas, dua amaran, 14 peringatan, 44 nasihat dan empat surat tunjuk sebab bagi pelanggaran di bawah Akta Pencetakan dan Penerbitan 1984.

Beliau juga menimbulkan isu pengawalan diri dalam industri media, dengan mengatakan salah satu cara ialah menerusi penubuhan majlis media atau melantik penasihat awam. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Tiada ulasan: