Rabu, 14 Mac 2018

Fakta Pas Bebas Rasuah ?

DETIK DAILY

 
Oleh: Abdul Muein Abadi

1. Bergegar dunia politik Malaysia apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Paul Low mengisytiharkan di Parlimen bahawa seramai 92 pemimpin parti politik telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 2013-2017.

Fakta menunjukkan bahawa 71 orang daripadanya adalah dari Barisan Nasional (BN) manakala selebihnya 21 orang dari parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Fakta ini cukup mengejutkan kerana Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak disiasat sama sekali, sedangkan begitu banyak tuduhan dan dakwaan rasuah telah dilemparkan kepada PAS dan kerajaan negeri Kelantan.

2. Bagaimana sebenarnya prosedur siasatan SPRM?

Jika benar PAS bermasalah dan meragukan, mengapa SPRM tidak merekodkan sebanyak mungkin kes ke atas PAS Kelantan agar mudah BN merampas Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 nanti?

Jika benar SPRM ialah ‘alat BN’, mengapa tidak direkodkan jumlah siasatan kes ke atas BN sebagai ‘0’ sama seperti PAS? Mengapa tidak dinyatakan bahawa PH disiasat lebih daripada 100 orang agar musnah reputasi pakatan lawan?

3. Kesemua persoalan ini menjurus ke arah beberapa implikasi:

Pertama, SPRM masih memiliki autonomi tersendiri dan tidak terikat sepenuhnya kepada parti pemerintah dalam melakukan siasatan.

 Kedua, SPRM berani mengemukakan fakta dan data secara jujur meskipun jelas laporannya tidak membantu reputasi BN menjelang PRU-14 nanti dengan 71 siasatan.

Ketiga, meskipun kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang mempunyai mekanisme semak dan imbang sendiri seperti SELCAT dan CAT, namun ia tidak sepenuhnya mampu mencegah persepsi rasuah hinggakan masih terdapat kes dilaporkan kepada SPRM.

 Keempat, meskipun mekansime pengisytiharan harta dipelopori oleh PH, terutama sekali kerajaan negeri DAP Pulau Pinang, namun persepsi dan siasatan kes rasuah masih wujud.

 Kelima, pemimpin PAS diiktiraf secara tidak langsung oleh SPRM dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Paul Low sebagai bebas rasuah.

4. Harus diingat, Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga tidak disiasat namun berbeza dengan PSM, PAS ialah sebuah parti politik yang telah menguasai kerajaan negeri Kelantan sejak tahun 1990.

Malah, berbanding Parti DAP dan PKR yang baru menguasai Pulau Pinang dan Selangor pada tahun 2008, PAS lebih lama berkuasa di Kelantan iaitu selama hampir 28 tahun. Maka PAS jauh lebih berisiko untuk terdedah kepada rasuah, penyelewengan, mahupun penyalahgunaan kuasa.

 Demikian juga dalam kes BN, disebabkan parti pemerintah ini menguasai sebahagian besar kerajaan negeri dan pusat, maka skala siasatan ke atas mereka juga tentulah besar di mana berbeza dengan PAS yang tidak memiliki tapak yang kukuh seperti BN di Sabah dan Sarawak misalnya. Maka penelitian yang lebih lanjut perlu dilakukan ke atas prosedur SPRM.

5. Orang awam boleh mengakses laman sesawang rasmi SPRM terutama sekali di seksyen ‘Penguatkuasaan’ yang tertera maklumat asas berikut: “Strategi penguatkuasaan merupakan salah satu daripada strategi serampang tiga mata SPRM berdasarkan kepada Seksyen 7 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan memainkan pelbagai peranan penting antaranya menjalankan siasatan, mengumpul maklumat, memberi khidmat bantuan forensik, memproses dan menguruskan maklumat serta mengendalikan kes-kes perbicaraan yang diletakkan di bawah portfolio Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi)”.

6. Apakah komponen-komponen SPRM yang terlibat dalam siasatan ini? Hal ini boleh diakses dalam Sektor Operasi yang menghuraikan 4 bahagian teras utama SPRM:

• Jabatan Siasatan
• Jabatan Perisikan
• Bahagian Perundangan Dan Pendakwaan
• Bahagian Pengurusan Rekod Dan Teknologi Maklumat

7. Jabatan Siasatan memainkan “peranan yang terpenting dalam misi membanteras jenayah rasuah dengan mengendalikan tugas penyiasatan. Sebagaimana yang digambarkan oleh namanya, peranan Bahagian ini tertakluk kepada seksyen 7 subseksyen (a) dan (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009”.

8. Jabatan Perisikan berperanan sebagai pusat pengumpulan maklumat di mana “Pengumpulan maklumat di Bahagian Perisikan mencakupi pelbagai sumber dan menerusi pelbagai kaedah dan teknik terkini”.

Bahagian Perundangan dan Pendakwaan pula “bertanggungjawab mengendalikan perbicaraan serta rayuan kes-kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Mahkamah. Pendakwaan dilaksanakan secara adil dan memenuhi tahap pembuktian mengikut keperluan undang-undang.

 Bahagian ini juga meneliti Kertas Siasatan yang dikemukakan oleh Bahagian Siasatan untuk keputusan dan tindakan lanjut serta memberi nasihat perundangan yang sewajarnya”.

9. Bahagian Pengurusan Rekod & Teknologi Maklumat “bertanggungjawab untuk menerima dan memproses maklumat, mengendalikan dan mengurus dokumen-dokumen operasi/terperingkat, memproses permohonan tapisan keutuhan dan pelupusan dokumen, menyediakan perangkaan dan statistik berkaitan SPRM serta bertanggungjawab memberi khidmat bantuan teknikal dan khidmat nasihat kepada pengguna yang berkaitan dengan permasalahan sistem computer”.

10. Proses Siasatan SPRM pula bermula apabila pihak pengadu menyalurkan aduan dan maklumat melalui Sistem Pengurusan Aduan (Complaints Management System CMS) yang merupakan platform bagi orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Hanya pemberi maklumat yang dikenalpasti dan boleh dihubungi sahaja yang akan dimaklumkan status maklumat yang mereka kemukakan melalui sistem ini.

11. Proses seterusnya adalah di Sistem Tapisan Keutuhan (eSTK) yang berfungsi untuk menguruskan pelbagai permohonan tapisan keutuhan secara dalam talian (online) bagi membolehkan permohonan tapisan diurus dengan lebih cekap, cepat dan sistematik. Ianya diwujudkan untuk memudahkan dan mempercepatkan proses permohonan tapisan keutuhan kepada SPRM secara elektronik tanpa melibatkan penghantaran permohonan secara fizikal. Tapisan Keutuhan yang dilaksanakan ini adalah berdasarkan kepada Pekeliling Am Sulit 1/1985 melibatkan 5 jenis tapisan yang merangkumi Kenaikan Pangkat, Bersara Pilihan, Tapisan Am, Pengurniaan Pingat Persekutuan dan Pingat Negeri.

12. ‘Panduan Memberi Maklumat yang Bekualiti’ turut disertakan dalam laman sesawang rasmi SPRM agar setiap aduan yang dikemukakan boleh dipastikan benar-benar berasas. Enam aspek wajib yang perlu dikemukakan ialah: Bila kejadian berlaku (When), Di mana kesalahan dilakukan (Where), Siapa yang terlibat dan yang boleh membantu (Who), Apa kesalahan yang dilakukan (What), Kenapa kesalahan dilakukan (Why), dan akhirnya Bagaimana transaksi rasuah tersebut dilakukan (How).

13. SPRM menjelaskan bahawa mereka menerima maklumat dari pemberi maklumat yang tidak dikenali, tetapi mestilah disertakan alamat atau maklumat perhubungan. SPRM tidak dapat bertindak ke atas banyak maklumat yang tiada maklumat perhubungan. Pemberi maklumat akan dilindungi mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Maklumat akan melalui proses saringan bagi mengenalpasti sama ada Maklumat yang dikemukakan adalah berunsur rasuah atau tidak, Maklumat tersebut boleh diambil tindakan atau tidak, dan seterusnya adakah Orang yang ditohmah boleh dikesan / dikenalpasti atau tidak.

14. Kemudiannya, selepas proses saringan, maklumat yang memenuhi kriteria yang ditetapkan dan di bawah bidang kuasa SPRM akan dibentangkan di dalam Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM) bagi menentukan tindakan lanjut. JMM yang diadakan setiap hari dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM dan dianggotai oleh Pengarah-pengarah Bahagian tertentu. Sekiranya disahkan bahawa terdapat unsur rasuah, maka Bahagian Perundangan/Pendakwaan/Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan.

15, Ringkasnya, proses aduan kepada SPRM bukanlah proses yang boleh dimanipulasi dan setiap kes serta siasatan yang dijalankan pastilah merupakan hasil daripada maklumat yang mempunyai asas yang kukuh.

Tiada ulasan: