Selasa, 13 Mac 2018

Esscom: Pusat pemeriksaaan darat di Sabah kekang aktiviti jenayah

 
Pemilihan kedua-dua lokasi sebagai pusat pelaksanaan RCP secara tetap berikutan jalan tersebut menjadi penghubung utama antara pantai timur dan pantai barat negeri ini.


Road-Check-Point-esscom-sabah
Gambar AFP.


SANDAKAN: Pelaksanaan pusat pemeriksaan darat atau Road Check Point (RCP) akan dimulakan hujung bulan ini di Jalan Kalabakan, Tawau, bagi meningkatkan usaha mengekang aktiviti jenayah di timur negeri ini.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), DCP Datuk Hazani Ghazali berkata, selepas itu, RCP akan dilaksanakan pula di Jalan Telupid di Telupid.

Katanya, pemilihan kedua-dua lokasi sebagai pusat pelaksanaan RCP secara tetap adalah berikutan jalan tersebut menjadi penghubung utama antara pantai timur dan pantai barat negeri ini.

“Pada masa sama, sejajar usaha meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), pihak kami sedang mengkaji pewujudan pos kawalan yang baharu,” katanya pada sesi dialog sempena Majlis Makan Malam ESSCom bersama media di sini, malam tadi.

Katanya, kajian dilakukan bagi mengenal pasti keberkesanan pewujudan pos kawalan baru itu di beberapa kawasan yang dikenal pasti sebelum ia dikemukakan kepada pihak atasan.
Menurutnya, ia juga membabitkan kemas kini pos kawalan sedia ada.

Terdahulu dalam ucapannya, Hazani meminta media memainkan peranan membantu Esscom menyiarkan berita sahih agar tidak menjejaskan siasatan dijalankan.

Katanya, berita disiarkan perlu mengikut kenyataan dikeluarkan dan perlu mendapatkan pengesahan pihaknya terlebih dahulu.

Beliau memberi contoh kejadian 3 penjenayah ditembak mati di Kalabakan pada 27 Februari lepas, terdapat laporan media yang menyiarkan identiti suspek, akibat pendedahan itu, siasatan dan operasi susulan kes itu terbantut.

“Saya tiadak menyatakan siapa suspek kerana siasatan kes itu tidak berakhir di situ. Kita mesti mengesan konco-konco terlibat selepas itu,” katanya.

Esscom ialah kawasan keselamatan di pantai timur Sabah dari Kudat ke Tawau. Ia diwujudkan kerajaan pada 2013 bagi mempertingkat keselamatan maritim negara ekoran kegiatan lanun dan militan dari selatan Filipina, terutama selepas peristiwa pencerobohan Lahad Datu pada tahun sama.

Tiada ulasan: