Jumaat, 16 Mac 2018

Dua bekas pegawai kanan Felda diarah bela diri

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memerintahkan dua bekas pegawai kanan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membela diri atas dua pertuduhan pecah amanah dan bersubahat pecah amanah melibatkan wang hampir RM48 juta, empat tahun lepas.
 
Hakim Allaudeen Ismail membuat keputusan itu terhadap bekas Timbalan Pengarah Besar (Pengurusan Sumber Strategik) Felda Muhammad Sufi Mahbub, 54, dan bekas Pengarah Besar Felda Datuk Faizoull Ahmad, 58, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
 
Mahkamah menetapkan lima hari bermula 23 Mac ini bagi kedua-dua tertuduh membela diri.
 
Sebanyak 49 saksi pendakwaan telah memberi keterangan sepanjang 27 hari perbicaraan kes itu yang bermula pada 13 Jun 2017 dan berakhir pada 13 Dis 2017.
 
Bagi dua pertuduhan itu, Muhammad Sufi didakwa sebagai orang yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana Felda telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana organisasi itu iaitu dengan curangnya melupus dan meluluskan dua pembayaran masing-masing RM25,999,000 dan RM21,626,500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Felda.
 
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Bangunan Wisma Felda, Jalan Perumahan Gurney di Kuala Lumpur antara 13 Jan 2014 dan 23 Julai 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
 
Faizoull pula dituduh bersubahat dengan Muhammad Sufi bagi kedua-dua pertuduhan sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman hukuman serupa, jika sabit kesalahan.
 
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala Muhammad Sufi diwakili peguam Heather Marie Anthony dan Faizoull diwakili peguam Azad Basher.
 
 

Tiada ulasan: