Sabtu, 24 Mac 2018

Citra `kecil’ PAS menjelang pilihan raya?

THE MALAYSIAN INSIGHT / Ismail Hashim Yahaya
Hasil carian imej untuk FOTO HADI AWANG

DALAM minggu lepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata parti Islam itu berhasrat untuk menjadi “kingmaker” (penentu) untuk mana-mana parti yang ingin menubuhkan kerajaan di Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, parti Islam itu akan memain peranan penting sama ada untuk Barisan Nasional (BN) atau pun Pakatan Harapan (PH).

Agaknya inilah citra PAS dalam pilihan raya.

Tidak dinafikan kita sedang berhadapan dengan era politik citra. Sehubungan itu citra dimaknai sebagai impak awam yang dibentuk dan dibuat untuk diciptakan menjadi sesuatu yang real.

Dalam dunia politik abad citra atau pengwajahan ini, orang lebih banyak melihat daripada berfikir, menerima tanpa berfikiran kritis. Ucapan atau kenyataan akan mendominasi kehidupan berpolitik terutamanya dengan kedatangan pilihan raya ini.

Hadi menjelaskan sekiranya parti Islam itu gagal membentuk kerajaan, mereka akan menjadi penasihat kepada kerajaan yang memerintah supaya melaksanakan perubahan dalam pemerintahan negara.

Ini bermakna PAS akan menjadi parti orang tengah kepada mana-mana parti siasah yang memerlukannya.

PAS sebelum ini mewajahkan dirinya sebagai bermuafakat dengan Umno atas konsep "ta'awun" iaitu penyatuan atau kerjasama dalam perkara kebaikan bukan perkara kejahatan.

Kata Hadi: "Pendirian saya sama dengan pendirian PAS dan Majlis Syura Ulama. Bekerjasama atas konsep ta'awun dalam perkara kebaikan bukan perkara kejahatan.”

Oleh itu adakah ini bermakna pengawajahan PAS hanyalah parti perantara sahaja, bukannya parti besar Islam Melayu yang akan menaungi atau memayungi ummah Melayu Islam.

Parti-parti lain akan merujuk kepada PAS sebagai penentu kemenangan mereka.

Jika inilah pengwajahan PAS dalam persiapan menjelang pilihan raya maka impiannya tidaklah sebesar gah partinya di sini.

Bukankah politik itu sebagai usaha meraih "kekuasaan" dengan mengerakkan segala "kekuatan" baik kekuatan agama, moral, kebendaan, modal, ekonomi, sosial, budaya, simbolik, bahasa bahkan unsur kerohanian bagi membantu mendapat dan mengekalkan kekuasaan.

Jika kenyataan di atas dibingkaikan, orang awam tidak akan melihat PAS sebagai parti besar ummah ia diperkecilkan sebagai parti tengah-tengahan dan jadi penentu kepada kemenangan konglomerat siasah lain.

Adakah ini pengawajahan PAS menjelang pilihan raya, bukan sebuah parti berdikari, tetapi parti "penentu" kemenangan parti lain?

Dalam hal ini, sekurang-kurang tanggapan yang dibuat ialah PAS juga bukanlah parti "kingmaker" sebagai diungkapkan Hadi tadi. Ini kerana "kingmaker" adalah parti besar.

Sudah banyak kali dibaca kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh kepimpinan PAS tidak lebih sebagai parti kerjasama, sekurang-kurang inilah pengawajahan PAS di mata audiens ruang siber.

Inikah yang dipromosikan PAS di ruang siber sekarang, citraan PAS yang ingin direalitikannya sebelum, semasa dan selepas pilihan raya?

Walaupun mungkin PAS mempunyai gagasan atau manifestonya semasa pilihan raya ini, pengawajahan PAS sebagai parti orang tengah sudah terpahat dalam fikiran khalayak, mereka tidak akan memberikan penekanan dan serius tentangnya.

Maka adakah Umno adalah parti Melayu-Islam yang akan menaungi ummah pada pilihan raya ini?

Dunia kesedaran politik dalam ruang siber lebih didominasi oleh durasi kesedaran pendek melihat citra, gambar, video dan maklumat politik, tiada masa untuk durasi panjang berfikir, merenung atau refleksi.

Kesedaran pancaindera seperti mendengar, menonton atau menyaksikan akan dibingkaikan oleh mekanisme (teknologis) dengan membingkaikan kesedaran manusia kepada sekadar melihat dan menyembunyikan atau telah hilang pisau hirisan fikiran kesempatan untuk berfikir (terhadap apa yang diihat).

Sepanjang pilihan raya jika tidak silap, tidak pernah ada parti "kingmaker" atau penentu dalam pilihan raya, tidakkah PAS membaca sejarah pilihan raya?

Adakah PAS ingin mengukir sejarah menjadi parti "kingmaker! dalam sejarah pilihan raya nasional negara?

* Ismail Hashim Yahaya, pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Unisel.

Tiada ulasan: