Jumaat, 16 Mac 2018

Cara untuk BN kekal jadi kerajaan

DETIK DAILY

 
Oleh Wan Hamidi Hamid

KEBANYAKAN kita menganggap diri sebagai non-partisan, iaitu tidak menjadi anggota mana-mana parti, tidak berpegang dengan mana-mana ideologi atau tidak memihak kepada mana-mana gerakan politik.

Sebagai pengundi, kita mahu mendapat tawaran terbaik daripada parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya demi kebaikan diri, keluarga dan masyarakat kita sendiri.

Kebanyakan kita mahu hak-hak asas dan jaminan hidup yang lebih baik daripada apa yang kita ada hari ini. Ini bermakna mana-mana parti yang menawarkan sesuatu yang dapat meningkatkan taraf hidup, membantu ekonomi keluarga dan menambah pendapatan, itulah pilihan kita.

Sehubungan itu, Barisan Nasional (BN) sebenarnya mempunyai kelebihan untuk kekal berkuasa. Malah, ia mampu kembali menguasai Parlimen dengan majoriti dua pertiga seandainya ia dapat memenuhi hasrat dan cita-cita majoriti pengundi.

Manifesto pembangkang

Minggu lalu, Pakatan Harapan (PH) telah melancarkan Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Dalam manifesto itu terkandung pelbagai cadangan, usaha dan janji yang bertujuan menarik sokongan pengundi.

Selain daripada butir-butir lengkap dalam dokumen setebal 200 muka surat itu, manifesto tersebut turut mengemukakan 10 janji 100 hari pertama sebagai Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan.

Jadi, apa yang BN patut lakukan?

Pengerusi BN yang juga merupakan presiden Umno dan perdana menteri sepatutnya mengarahkan semua penasihatnya untuk mengkaji manifesto Pakatan Harapan. Selepas sehari dua, mereka perlu mengemukakan laporan tentang baik buruk intipati janji-janji pembangkang tersebut.

Apabila didapati janji-janji tersebut memang diperlukan oleh rakyat, Kabinet boleh membincangkan dan meluluskan keputusan untuk melaksanakan dengan segera janji-janji PH, tanpa perlu menunggu PRU14.

Maksudnya, BN tidak perlu melawan manifesto PH dengan manifesto baru dengan janji yang lain. Itu boleh dibuat kemudian, jika perlu.

BN tunai janji PH?

Yang sepatutnya dilakukan segera adalah mengumumkan BN akan melaksanakan janji-janji 100 hari PH – jika bukan semua sekali pun, sekurang-kurangnya tujuh atau lapan daripadanya. Lagi pun, manifesto pilihan raya tiada hak cipta eksklusif; sesiapa sahaja boleh menjanjikannya serta melaksanakannya.

Jika ia ditunaikan sebelum PRU14, BN sudah boleh goyang kaki menanti kemenangan besar.
Apa yang dijanjikan oleh PH?

1. Menghapuskan GST dan mengurangkan kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat.

2. Menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.

3. Menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda.

4. Memperkenalkan skim caruman KWSP untuk suri rumah.

5. Menyamaratakan gaji minimum seluruh negara, dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum.

6. Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

7. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji, dan merombak semula struktur kepimpinan mereka.

8. Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963.

9. Memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40.

10. Melancarkan kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing.

Bukankah ia mudah untuk BN melaksanakannya?

Memang kita sedar pucuk pimpinan BN tidak berani untuk memenuhi satu atau dua janji termasuk cadangan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat mengenai 1MDB, Felda dan sebagainya.

Tetapi janji-janji yang lainnya boleh dilaksanakan segera dalam masa 100 hari dari sekarang. Inilah peluang terbaik untuk BN.

Impian dan kenyataan

Namun, sebelum impian kita melayang entah ke mana, elok kita lupakan angan-angan ini. Mari kita kembali ke alam nyata.

Memang tiada pemimpin BN yang akan berbuat apa-apa tentang hal ini. Mereka sudah selesa dalam suasana semasa. Masalah rakyat bukan masalah mereka.

Seperti pada masa-masa silam, mereka hanya mampu mengulangi skrip lama.

Oleh itu, sebaik sahaja manifesto PH dilancarkan, nada para pemimpin BN sama seperti jeritan tuduhan lapuk dahulu.

Mereka mengutuk manifesto PH dengan kata-kata ia bersifat retorik, tidak munasabah, populis, tidak realistik, kitar semula, mandul idea dan pelbagai carutan lain.

Sudah tentu BN pula akan melancarkan manifestonya sendiri bulan depan. Isinya sudah dapat diramalkan, iaitu sama seperti sebelumnya - tanpa apa-apa yang dapat memanfaatkan rakyat kecuali janji-janji berbau dedak dan projek-projek besar yang kononnya dapat mengalirkan hasil kepada rakyat.

Pilihan dan penentuan

Mengapa BN kekal bersikap begini?

Pertama, BN merasakan ia tidak perlu pedulikan sangat tentang rakyat. Sekadar jenguk-jenguk sahaja sudah cukup.

Dengan pelbagai skandal mega yang merugikan wang rakyat berpuluh billion ringgit, pimpinannya bangga kerana tiada siapa dihadapkan ke mahkamah, tiada siapa dikenakan hukuman kecuali mereka yang mendedahkan kebenaran.

Pimpinan BN cukup yakin rakyat hanya bising di media sosial tetapi tidak akan berani mengundi pembangkang untuk dijadikan kerajaan pada PRU14 nanti.

Kedua, senjata ampuh Umno sebagai teraju BN adalah politik kaum dan perkauman serta ancaman yang beralaskan agama.

Pimpinan Umno cukup yakin bahawa orang Melayu, walau macam mana marah sekali pun terhadap BN, tidak akan mengundi pembangkang.

Ini adalah kerana minda Melayu sudah lama diasuh dan dibasuh agar berpegang kepada mantera bahawa hanya Umno dapat menjamin dan melindungi “agama, bangsa dan negara”.

Terpulang kepada kita sebagai pengundi. Jika masih takut dengan ancaman serta ugutan politik perkauman dan sentimen agama, bersedialah untuk terus merasai nikmat kehidupan di bawah pemerintahan Umno-BN.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.
 
 

Tiada ulasan: