Rabu, 14 Mac 2018

“Bapa Segala U-Turn” Kini Mengaku Pula Silap Pecat Anwar 20 Tahun lepas






Malaysian Digest Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja mendapat gelaran Bapa Pemodenan, namun satu lagi gelaran yang sesuai untuk pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu adalah “Bapa Segala U-Turn”.

Ia susulan tindakan bekas perdana menteri itu semalam membuat ‘pengakuan’ bahawa beliau membuat keputusan salah dengan memecat anak didiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 20 tahun lalu.

Pendedahan itu dibuat oleh Dr Mahathir dalam wawancara bersama Sin Chew Daily, selepas kurang setahun ahli politik veteran itu menegaskan bahawa beliau tidak pernah menyesal memecat bekas timbalan perdana menteri itu pada tahun 1998.

“Keputusan salah ialah mematuhi undang-undang sepenuhnya, saya fikir saya tak patut ambil tindakan terhadap Anwar,” katanya memetik Free Malaysia Today ketika ditanya apa keputusan salah yang pernah dilakukannya sepanjang 22 tahun memimpin negara.

“Dari segi politik, saya tidak akan berbuat demikian kerana apabila saya menjadi perdana menteri, saya pernah berjanji dengan diri tidak akan melakukan perkara yang akan menyebabkan orang benci saya.”

Beliau mendakwa tindakan memecat Ketua Pembangkang itu yang kini menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh atas kesalahan meliwat dibuat berdasarkan bukti yang ditunjukkan pihak polis dan keputusan kolektif Majlis Tertinggi UMNO.

“Demi perkara ini, kami mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sehingga 4 pagi. Semua orang bersuara, mereka sepakat tidak mahu beliau sebagai timbalan presiden UMNO dan tidak mahu beliau berada dalam parti. Ini adalah keputusan Majlis Tertinggi UMNO, bukan keputusan saya.

“Saya mematuhi prosedur ditetapkan, bawa perkara itu ke Majlis Tertinggi untuk dibincangkan. Semua ahli Majlis Tertinggi hadir, hampir 40 orang, Anwar pun hadir,” kata pengerusi PPBM itu.

Anwar didakwa menyalahgunakan kuasa dan meliwat serta dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun dan 9 tahun. Beliau dihukum penjara pada 1999 tetapi dibebaskan pada 2004 selepas sabitan kes liwatnya dibatalkan, namun sabitan salah guna kuasa dikekalkan.

Dr Mahathir dalam artikel yang disiarkan Utusan Online pada 9 Sept 1998 berkata; “Bukti-bukti mengenai perangai tidak bermoral Anwar terlalu kukuh dan ia merupakan punca beliau dipecat daripada kerajaan dan UMNO.”

Sementara Julai tahun lalu, Dr Mahathir tetap dengan pendiriannya bahawa beliau tidak menyesal memecat Anwar, lapor Malaysia Kini.

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata “Bapa Segala U-Turn” itu tidak pernah mempunyai prinsip dan hanya memberitahu perkara yang orang mahu dengar semata-mata mahu mendapatkan sokongan.
“Aku dah tak ada apa-apa nak cakap tentang Bapa Segala U-Turn ini (Dr Mahathir). Sekejap cakap mungkin kesal, sekejap lagi dah jadi amat kesal.

“Kornar baring sini sana sampai semua penumpang tercampak keluar. Penyokong-penyokong beliau pun nampak bodoh. Dulu tak pernah ada prinsip. Kini tak ada dan pada masa depan juga tak akan ada prinsip,” katanya dalam entri di Facebook.

Tiada ulasan: