Selasa, 13 Mac 2018

Baik Buruk Manifesto Pakatan Harapan

DETIK DAILY

 
Oleh: Abdul Muein Abadi

Apakah kebaikan dan keburukan Manifesto Pakatan Harapan (PH)? Adakah keburukannya mengatasi kebaikan? Berikut analisis baik buruk Manifesto PH kepada kuasa dan geopolitik negara kita.

Kerangka analisis yang digunakan ialah gabungan antara ‘Political Order’ oleh sarjana Francis Fukuyama, ‘Bureaucratic Politics’ oleh Morton Halperin, Priscilla Clapp, serta Jarel Rosati, dan juga ‘Realist Theory of State Action’ oleh Mastanduno, Lake, dan Ikenberry.

Fokus analisis adalah pada tujuh janji dalam Manifesto PH yang terkandung dalam dua teras utama iaitu Teras 2: Mereformasi Institusi Pentadbiran dan Politik serta Teras 5: Membina Malaysia yang Inklusif, Moderat dan Gemilang di Persada Dunia.

1. Di bawah “Janji 12: Menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dan menstruktur semula Jabatan Perdana Menteri”, PH jelas mengusulkan pengurangan kuasa Eksekutif yang berpusat di tangan seseorang Perdana Menteri. Tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada dua penggal dan tidak dibenarkan memegang jawatan menteri lain, terutamanya jawatan Menteri Kewangan.

Secara positifnya langkah ini mampu menggilap bakat-bakat baru dalam mengambilalih teraju kepimpinan dan menghalang pemusatan kuasa di tangan seseorang individu.

2. Walau bagaimanapun, dalam konteks Malaysia sebagai negara kecil yang sedang meningkat naik dan sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko luaran, struktur sebegini berkemungkinan menggugat potensi dan visi yang cuba dibawa oleh seseorang Perdana Menteri dalam tempoh jangka masa panjang. Seperti mana kajian Fukuyama dalam dua jilid karya beliau, iaitu ‘The Origins of Political Order’ dan juga ‘Political Order and Political Decay’, kerajaan yang kuat adalah prasyarat pertama dalam mewujudkan Order Politik yang stabil dan berdaya maju.

3. Meskipun demikian, Fukuyama turut mengajukan bahawa sesebuah kerajaan juga mestilah berakauntabiliti (boleh dipertanggungjawabkan) dan akur pada kedaulatan undang-undang. Dalam konteks ini, Janji 12 Manifesto PH turut diimbangi oleh Janji 16 ‘Mengembalikan wibawa institusi parlimen’ dengan “memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, dengan penambahbaikan dalam perkara-perkara tertentu agar akta tersebut sesuai dengan cabaran zaman moden”.

4. Risiko persaingan dan perseteruan antara kementerian seperti mana yang digariskan dalam ‘Bureaucratic Politics’ juga berkemungkinan tercetus susulan penstrukturan semula JPM. PH berjanji bahawa “tanggungjawab lain [JPM] akan diturunkan kepada kementerian-kementerian yang bersesuaian” di samping “Mengurangkan bilangan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan cara memindahkan seberapa banyak agensi yang mungkin ke kementerian yang berkaitan”.

Positifnya, autonomi sesebuah kementerian mungkin meningkat, namun ia berkemungkinan membangunkan visi tersendiri yang berbeza dengan kepimpinan tertinggi, di samping risiko persaingan antara kementerian.

5. Janji 18: Mewujudkan mekanisme pembiayaan politik yang berintegriti turut mempunyai pro dan kontra kepada kuasa dan geopolitik kita. Prinsip-prinsip utama Akta tersebut tersebut ialah: Parti-parti politik yang layak akan menerima pembiayaan tahunan daripada kerajaan mengikut formula yang telus dan konsisten; Semua sumbangan politik mestilah daripada sumber yang boleh dikenalpasti. Parti-parti politik mesti menghantar laporan kewangan yang telah diaudit pada setiap tahun; Parti-parti politik tidak boleh memiliki aset yang melebihi RM1 billion; Syarikat-syarikat milik kerajaan tidak dibenarkan membuat sumbangan politik. Secara positifnya, Akta Kawalan Pembiayaan Politik ini sememangnya menjamin ketelusan dan kebebasan pendanaan politik, sekaligus menepis kecurigaan ‘ancaman dana asing’ dan ‘sabotaj pihak luar’. Walau bagaimanapun, mekanisme agihan pembiayaan politik daripada kerajaan kepada parti politik perlu diperhalusi lebih lanjut agar pelbagai bantahan dan perpecahan antara parti politik dapat dielakkan.

6. Dalam aspek ketenteraan dan pertahanan pula, “Janji 20: Menjadikan Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan Polis DiRaja Malaysia sebagai sebuah pasukan yang dihormati dan disegani” perlu diperhalusi. Janji PH memberikan “sokongan kewangan dan prasarana yang selayaknya kepada kedua-dua komponen penting keselamatan negara ini” di samping “menjalankan perbincangan dan kajian terperinci dengan kedua-dua pasukan untuk mengenalpasti keperluan peralatan, persenjataan dan latihan termoden yang diperlukan” memberikan isyarat yang positif. Langkah ini memberikan lebih banyak kuasa dan autonomi kepada angkatan tentera dan polis Malaysia dari segi agihan peruntukan dan pemerolehan aset – khususnya dalam kes pembelian pesawat tempur pelbagai fungsi (MRCA) TUDM yang telah tertangguh lebih 10 tahun.

7. Walau bagaimanapun, Janji 27 PH yang bakal memansuhkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 bakal menjejaskan kesepaduan Majlis Keselamatan Negara antara Perdana Menteri, Panglima ATM, Menteri Pertahanan, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Ketua Setiausaha Negara, dan juga Menteri Komunikasi dan Multimedia pada masa krisis mahupun konflik.
Struktur sebegini juga tidak efektif bagi menyokong Janji 58 PH, “Mempertahankan sempadan negara daripada pencerobohan, penyeludupan dan pemerdagangan manusia” di mana naratif berikut telah diajukan: Kapal-kapal asing dilaporkan bertapak di perairan Sarawak. Rakyat Sabah pula terus bimbang tragedi Lahad Datu akan berulang. Negeri Perlis pula telah menyaksikan tragedi Wang Kelian, iaitu di mana kubur mangsa pemerdagangan manusia telah ditemui. Manakala di seluruh negara, masalah penyeludupan barangan terus menerus tidak dapat dihentikan”.

8. Meskipun demikian, Janji 58 PH turut mengajukan usul konkrit iaitu “Menambah sumber dan kapasiti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia”, “melipatgandakan usaha diplomatik dan mempercepatkan rundingan bilateral antara Malaysia dengan Indonesia dan Filipina”, serta “Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi tumpuan dan keutamaan kepada proses pengawalan sempadan negara dan seterusnya mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang melakukan kesalahan tanpa mengira kedudukan”.

9. Dalam arena antarabangsa pula, Janji 59 dan 60 jelas menunjukkan PH masih berpegang pada Liberal-Institutionalism antarabangsa (bukan Liberalisme agama). Jika dalam hal-ehwal politik mereka meyakini ASEAN, OIC, Komanwel, dan PBB (Hlm 152-154), dalam hal-ehwal ekonomi pula mereka berminat dengan OECD, Bank Dunia, Open Government Partnership, Open Contracting Partnership, Open Budget Initiative, dan sebagainya (Hlm 153).

10. Disebalik kegagalan demi kegagalan ASEAN, OIC, dan PBB, Janji 59: “Memimpin usaha menyelesaikan konflik Rohingya dan Palestin” menyaksikan PH mengusulkan untuk “Mendepani usaha negara-negara serantau untuk menyelesaikan konflik Rohingya di Myanmar, dan membawa konflik ini untuk penyelesaian antarabangsa dengan suara yang lebih kuat” (Halaman 152). Demikian juga PH “akan membawa suara Palestin dengan lebih aktif ke peringkat OIC dan PBB agar penyelesaian muktamad dapat dicapai”.

11. PH perlu memikirkan alternatif yang lebih ‘Realis’ dan berani seperti pakatan dengan platform seperti D-8 negara Islam dan juga secara selektif (terpilih) berasaskan kes dengan kuasa besar tertentu seperti China dan Rusia dalam blok BRICS. Potensi Malaysia sebagai penghubung antara Inisiatif ‘Belt and Road’ (OBOR/BRI) dan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) oleh China dengan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU) dan Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO) oleh Rusia seharusnya diterokai bagi mengimbangi NATO Amerika dan Kesatuan Eropah (EU) di peringkat global dalam jangka masa panjang.

12. Cadangan ini juga agak selari dengan Manifesto PH yang “mengalu-alukan kebangkitan Asia dan akan meneruskan hubungan diplomatik dan ekonomi yang sihat dengan menjalin hubungan baik dengan semua negara seluruh dunia berteraskan prinsip berkecuali (non-aligned) (Hlm.154)” di samping “memposisikan Malaysia sebagai kuasa pertengahan (middle power) yang berpengaruh” (Hlm.155).

13. Ringkasnya, Manifesto PH memiliki kelebihan dari segi pendemokrasian dan desentralisasi kuasa, namun ia agak terikat dengan aliran paradigma Demokrasi Liberal dalam politik domestik dan Liberal-Institutionalism dalam arena politik antarabangsa. Penstrukturan semula JPM, pengurangan kuasa Majlis Keselamatan Negara MKN, pemerkasaan Kementerian-kementerian, pengukuhan Parlimen, dan pembiayaan parti politik sememangnya boleh melonjakkan indeks Demokrasi negara, tetapi kurang efektif dalam membangunkan visi strategik negara kecil seperti Malaysia. Sama-sama kita nantikan pula Manifesto Barisan Nasional (BN) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tiada ulasan: