Isnin, 12 Mac 2018

Bagaimana Manifesto PH Lonjakkan DAP Ke Puncak Kuasa – Dr Kamarul


 

 
 

Di dalam satu dialog tertutup di Nanyang Technological University, Singapura, pada 10 Disember 2014, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pernah berkata bahawa jika Perlembagaan Persekutuan kekal seperti sekarang maka “kita” (orang-orang bukan Melayu bukan Islam) berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Ini kerana Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan hanyalah mensyaratkan bahawa seorang Perdana Menteri hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dari kalangan “ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu” dan tidak semestinya dari orang-orang Melayu Islam.

Cara untuk seseorang ahli Dewan Rakyat mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu adalah dengan memastikan bahawa parti politik yang beliau wakili, sama ada secara bersendirian atau secara berkumpulan bersama-sama parti-parti politik lain yang ia berpakat, mendapat majoriti kerusi di dalam Dewan Rakyat.

Di dalam PRU 14, walaupun persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibuat di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003 merugikan orang-orang Melayu Islam, mereka masih lagi menjadi penentu utama keputusannya kerana kerusi luar bandar jauh lebih banyak berbanding kerusi bandar dan separa bandar.

Perkara ini boleh berlaku kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan ukuran pewajaran (weightage) diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya di atas asas “kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar”.

Parti politik yang paling lantang sejak zaman ber zaman menentang perkara ini adalah DAP, yang berulang kali menyebut betapa persempadanan semula kawasan pilihan raya wajib dilakukan berdasarkan kepada prinsip satu orang satu undi (one man one vote), di mana ia di antara lainnya telah disuarakan oleh pemimpin DAP berikut:

(1) Lim Guan Eng pada 18 Mac 2013.

(2) Lim Kit Siang pada 6 Oktober 2014, 3 Januari 2016, 18 September 2016 dan 26 Disember 2016.

(3) Dr Ong Kian Ming pada 20 Disember 2017.

Selepas PRU 13, DAP telah mengemukakan satu draf persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibuat berdasarkan prinsip satu orang satu undi yang, selain menambahkan bilangan kerusi Dewan Rakyat menjadi 262, melipatgandakan kerusi bandar menjadi 143 berbanding 80 kerusi luar bandar dan 39 kerusi separa bandar.

Mengikut Perkara 113(2)(i) Perlembagaan Persekutuan, badan yang diberi kuasa untuk membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya ini adalah Suruhanjaya Pilihan Raya yang, mengikut Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, “hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja”.

Di dalam majlis Pelancaran Manifesto PRU 14 Pakatan Harapan pada 8 Mac lalu, Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, mendedahkan bahawa salah seorang penulis utama manifesto itu ialah Dr Ong Kian Ming dari DAP, antara pemimpin yang paling lantang bersuara mutakhir ini supaya kerusi bandar dipecahkan.

Janji 17 Manifesto PRU 14 Pakatan Harapan, “menjamin ketelusan dan kemodenan sistem pilihan raya”, menyebut “pelantikan Ahli-Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya mestilah melalui proses perakuan oleh Parlimen” dan “Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan nisbah yang adil dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya”.

Jika Pakatan Harapan memerintah, bila kuasa melantik Suruhanjaya Pilihan Raya tidak lagi dimiliki sepenuhnya oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, dan bila persempadanan semula kawasan pilihan raya dibuat berdasarkan prinsip satu orang satu undi, maka sudah tentulah jumlah kerusi bandar akan berlipat ganda.

Bila jumlah kerusi bandar berlipat ganda maka sudah tentulah DAP yang akan berkuasa. Mudah sahaja sifirnya.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).


Tiada ulasan: