Rabu, 14 Mac 2018

Arkitek promosi PAS di Lembah Pantai, tonjol isu pembangunan bandar

Arkitek promosi PAS di Lembah Pantai, tonjol isu pembangunan bandar
Fauzi Abu Bakar (kanan), seorang arkitek berpengalaman menyertai PAS tahun lalu dan baru saja dilantik sebagai bendahari PAS Lembah Pantai, dinamakan sebagai calon kawasan itu bagi PRU14. – Gambar Facebook, 
 
CALON PAS bagi Lembah Pantai untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak berperawakan seperti golongan ulama dalam parti Islam itu yang biasanya berserban dan berjubah.

Fauzi Abu Bakar, 58, kelihatan segak dengan berbaju batik merah jambu, ketika bertemu dengan wartawan dan penduduk berhampiran kediamannya di Lucky Garden, Bangsar pada satu petang Ahad yang mendung.

Bekas presiden kedua Institut Arkitek Lanskap Malaysia (ILAM) itu berpengalaman selama 30 tahun dalam bidang tersebut dan merupakan seorang tokoh korporat bumiputera terkemuka negara.

Syarikatnya, IN-SITE Design terkenal dengan projek bukan saja di Malaysia, malah di negara seperti Iran dan Libya. Rekaan landskapnya untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur meraih banyak anugerah.

Isu yang mahu dibawanya juga amat asing daripada perkara yang sering dilaporkan media mengenai PAS, iaitu isu ketidakseimbangan pembangunan bandar.

“Saya fikir saya tahu keresahan dan punca masalah di sini,” katanya ketika membuka bicara.

“Kalau kita tengok kerakusan pembangunan tidak seimbang di Lembah Pantai, khususnya di kawasan Kerinchi, di mana rumah pangsa dirobohkan dan bangunan-bangunan tinggi naik.

“Saya lihat perpindahan (masyarakat) ini menimbulkan satu jurang yang pelik di sini,” katanya ketika ditemui selepas majlis minum petang anjuran PAS Lembah Pantai itu.

Kawasan itu juga bukan kerusi tradisional bagi PAS, yang biasanya bertanding di kawasan luar bandar dengan majoriti pengundi Melayu lebih 80%.

“Di Bangsar, ada komposisi pelbagai, Kita dapati 60% penduduk di sini pendapatan rendah. Ada juga kawasan seperti Bukit Pantai, Bangsar Baru, Lucky Garden merupakan kawasan penduduk berpendapatan tinggi. Juga ada 60% majoriti penduduk Melayu.

Kawasan Parlimen ini meliputi empat kawasan utama, salah satu daripadanya adalah Bangsar dan sebahagian kawasan Damansara yang didiami golongan elit pertengahan Melayu dan pelbagai kaum.
Bukit Pantai, Bangsar Baru, Lucky Garden termasuk dalam kawasan ini.

Selain itu, ia meliputi Pantai Dalam yang menempatkan universiti tertua di Malaysia iaitu Universiti Malaya serta Kerinchi dan Pantai Dalam, kawasan Melayu yang berhijrah ke ibu kota.

“Jadi perlu ada PAS terlibat langsung (sebagai) suatu suntikan yang dapat lengkapkan keperluan setempat.”

Beliau aktif mendekati masyarakat dengan menyertai program sebegitu sejak sekian lama. Fauzi pernah menjadi pengerusi persatuan ibu bapa dan guru di sekolah rendah dan sekolah menengah di Bukit Bandaraya.

Selain bergiat dalam Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya, Fauzi juga menganggotai jawatankuasa pendengaran awam untuk Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, rangka tindakan 20 tahun yang memandu pembangunan di ibu kota.

Beliau yang juga jawatankuasa pembangunan Masjid Abu Bakar As Siddiq di Bangsar itu yakin kehadirannya dan PAS di kawasan itu bukanlah sesuatu yang pelik kerana parti Islam itu sendiri berperanan dalam pembangunan masyarakat.
Calon PAS bagi Lembah Pantai untuk PRU14, Fauzi Abu Bakar bakal membawa isu ketidakseimbangan pembangunan bandar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2018.
Calon PAS bagi Lembah Pantai untuk PRU14, Fauzi Abu Bakar 
bakal membawa isu ketidakseimbangan pembangunan bandar. – 
Gambar fail The Malaysian Insight
Katanya, beliau membawa agenda Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) PAS yang memupuk pembangunan sosial menerusi pembangunan fizikal yang berhemah.

Beliau berkata isu itu kurang disentuh oleh BN dan PH, yang lebih mementingkan sama ada pembangunan sosial atau pembangunan tanpa melibatkan acuan rohani.

“Ini pendekatan yang boleh diterima orang sini dan memberi peluang kepada PAS untuk bertanding,” katanya.

Fauzi baru saja dilantik sebagai bendahari PAS kawasan Lembah Pantai, tidak lama selepas menyertai PAS pada tahun lalu.

Pada hujung Oktober lalu Fauzi ditampilkan sebagai penceramah utama pada program "Sembang Santai Teh Tarik for Lembah Pantai 1.0" atau TT4LP 1.0.

Program itu diadakan di Bazaria Pantai Dalam, kawasan utama penempatan Melayu di kawasan Parlimen Lembah Pantai.

Dalam PRU lalu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengalahkan calon BN, Raja Nong Chik dan calon Bebas, Rusli Baba dengan majoriti 1,847 undi.

PRU sebelumnya, Nurul Izzah mendapat majoriti yang lebih tinggi iaitu 2,895 ketika mengalahkan Shahrizat Abdul Jalil (BN) dan calon Bebas, Periasamy Nagaratnam.

Dalam PRU tahun ini pula, Fauzi dijangka bakal mencabar ketua Pemuda PKR Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Raja Nong Chik yang juga ketua Umno bahagian ini.

Tiada ulasan: