Isnin, 12 Mac 2018

Anwar gagal ketepi sabitan liwat

Anwar gagal ketepi sabitan liwat
Permohonan Ketu Umum PKR Anwar Ibrahim untuk mengetepikan sabitan liwat yang dikenakan terhadapnya ditolak oleh mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
ANWAR Ibrahim gagal mengetepikan sabitan liwat yang dikenakan terhadapnya apabila permohonan beliau ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad menolak permohonan ketua umum PKR yang berasaskan alasan bukti terhadapnya diperolehi secara penipuan.

Nik Hasmat berkata ia gagal memenuhi ambang perundangan untuk membolehkan perbicaraan baru diadakan.

"Sudah tiga tahun sejak kes itu. Saya tidak dapat mengelak daripada berasa yang plaintif menggunakan prosedur sivil sebagai jalan belakang untuk semakan semula sabitan itu," katanya.

Anwar disabitkan dengan kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada Februari 2015.

Anwar yang bercakap kepada pemberita selepas itu menyatakan kekecewaan dan berkata ingin melihat keadilan dilaksanakan.

"Saya hanya mencari satu hakim, satu tempat, bagi mereka agar berani menunjukkan yang mereka menghormati undang-undang dan kehakiman.

"Jika tidak, tunggu PRU14," katanya sambil disambut laungan "Reformasi" daripada penyokongnya.
Mahkamah menganugerahkan ganti rugi kos kepada peguam Anwar.

Anwar memohon untuk mengetepikan sabitan liwat di bawah Seksyen 44 Akta Keterangan, yang memperuntukkan bahawa mana-mana pihak dalam saman itu boleh menunjukkan bahawa apa-apa penghakiman, yang telah dibuktikan oleh pihak lawan, telah disampaikan oleh mahkamah yang tidak berwenang untuk menyampaikannya atau didapati melalui penipuan atau kolusi.

Nik Hasmat berkata penghujahan peguam Anwar bahawa kerajaan melakukan penipuan adalah samar.

"Ia mestilah penipuan sebenar. Ia perlu lebih spesifik. Kamu tidak boleh hanya memetik penipuan dan bawa ke mahkamah," katanya.

Dalam afidavit dan penghujahan bertulisnya, kerajaan membalas bahawa permohonan itu adalah permohonan itu adalah remeh, menyakitkan hati dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Nik Hazmat turut mengesahkan penghujahan kerajaan bahawa Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Peguam Negara, selaku pendakwaraya mempunyai budi bicara untuk memulakan prosiding jenayah di mahkamah sivil.

Anwar diwakili peguam N. Surendran manakala Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili kerajaan.

Surendran berkata Anwar akan memfailkan rayuan dengan segera ke Mahkamah Rayuan.

Anwar mempunyai rayuan kedua untuk mengetepikan sabitan, menangguhkan di Mahkamah Rayuan, berhubung dakwaan RM9.5 juta dibayar kepada pendakwaraya dalam perbicaraan kes liwat Anwar, Muhammad Shafee Abdullah.

Tiada ulasan: