Isnin, 12 Mac 2018

4 peserta maraton cedera dilanggar kereta urus setia

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUANTAN: Empat peserta program maraton ‘Run Out Pahang 2018’ di sini semalam, cedera selepas dirempuh sebuah kereta urus setia yang membuat pemantauan peserta acara larian itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata kejadian berlaku pada 8.25 pagi berhampiran Masjid Al-Imam Ash-Shafie, Kota SAS di sini.

Mereka yang cedera ialah Ahmad Fakhri Sulaiman, 31, yang cedera di kepala dan kaki kiri, Chua Yennie, 21, cedera di muka dan kepala, Haslinda Othman, 41, yang luka di kaki dan tangan kiri serta Nurul Huda Ahmad Razali, 33, yang disyaki patah kaki kanan.

Ahmad Fakhri dan Chua yang menyertai kategori 21 kilometer (km) dan Haslinda peserta 10km, menerima rawatan di Hospital Universiti Islam Antarabangsa (UIA) manakala Nurul Huda dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

“Kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu kereta yang membuat pemantauan peserta dari Bukit Istana ke Kota SAS cuba memperlahankan kenderaan untuk memberi arahan kepada peserta yang keluar dari laluan untuk masuk semula ke laluan ditetapkan.

“Bagaimanapun, pemandu yang berusia 28 tahun itu telah hilang kawalan menyebabkan kereta itu masuk ke laluan larian lalu melanggar peserta yang menuju ke lokasi penamat yang terletak kira-kira 250 meter,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Mohamad Noor menambah kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu terlibat telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi menjalani ujian air kencing.

Beliau juga mengesahkan program larian anjuran sebuah syarikat di Kuala Lumpur yang berpengalaman selama lima tahun dalam program larian itu, mempunyai kelulusan penganjuran Pesuruhjaya Sukan dan Majlis Perbandaran Kuantan.– Bernama

Tiada ulasan: