Isnin, 12 Februari 2018

Warga emas ditahan berhubung kes dera amah


THE MALAYSIAN INSIGHT

Warga emas ditahan berhubung kes dera amah

POLIS menahan seorang lagi wanita bagi membantu siasatan  berhubung kes pembantu rumah Indonesia mati dipercayai didera di Taman Kota Permai 2 di Bukit Mertajam, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata wanita berumur 60 tahun itu ditahan di hadapan sebuah bangunan di Jalan Green Hall, George Town kira-kira 2.30 petang tadi.

"Selepas Adelina Lisio, 28, meninggal dunia semalam, kami mencari warga emas terbabit yang juga ibu kepada dua beradik yang ditahan sebelum ini di rumah mereka di Taman Kota Permai 2, namun dia tiada, dipercayai disembunyikan oleh anak-anaknya bagi mengelak ditahan.

"Wanita itu juga tinggal di rumah yang sama dan difahamkan turut memukul pembantu rumah berkenaan," katanya di Bukit Mertajam hari ini.

Adelina yang mengalami kecederaan parah termasuk luka dan lebam di badan, mati ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam pada kira-kira 4.45 petang semalam dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Adelina ditemui kira-kira 8 malam Sabtu selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki yang juga pembantu kepada ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Lim dan ekoran itu polis menahan seorang lelaki dan adik perempuannya berumur 36 dan 39 tahun yang merupakan majikan mangsa bagi membantu siasatan.

Nik Ros Azhan berkata wanita warga emas itu akan direman di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok.

Beliau berkata laporan bedah siasat ke atas pembantu rumah itu mendapati dia mati disebabkan kegagalan organ badan kerana kekurangan darah dan dipercayai mangsa diabaikan keluarga berkenaan.

Polis tidak menolak kemungkinan selain didera dengan dipukul dan ditampar, pembantu rumah itu turut diabaikan kesihatannya termasuk tidak diberi makanan dan tempat tinggal yang sempurna sejak beberapa bulan lepas, katanya.

"Setakat ini, polis telah merekod keterangan beberapa orang saksi termasuk jiran-jiran majikan mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk memanggil beberapa lagi orang antaranya doktor dan kenalan majikannya bagi membantu siasatan," katanya. – Bernama, 

Tiada ulasan: