Ahad, 25 Februari 2018

Video Persoal Kerajaan DAP Pulau Pinang Viral



GEORGETOWN: Sebuah video memaparkan seorang wanita yang kesal serta mempersoalkan kredibiliti pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang, tersebar luas di media sosial, sejak semalam.

Video berdurasi tiga minit 16 saat itu memaparkan pelbagai persoalan berhubung kelemahan pentadbiran kerajaan negeri, yang dikatakan menyebabkan rakyat Pulau Pinang semakin tertindas.

Wanita berkenaan seolah-olah menyesali tindakannya menyokong pakatan pembangkang apabila parti itu dikatakan gagal membawa perubahan kepada nasib rakyat.

“Sudah empat tahun sejak suara untuk ‘ubah’ didengari. Kita sangat berharap, malah saya berdoa supaya ada masa depan yang cerah. Saya menyertai perjuangan untuk memastikan perubahan.

“Saya sentiasa berharap ia (perjuangan untuk ubah) berbaloi dan ia semestinya perlu menjadi kejayaan. Kita berjaya dalam perjuangan itu, tetapi bagaimana pula Pulau Pinang sekarang,” katanya dipetik daripada video terbabit.

Pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pentadbiran Pulau Pinang daripada Barisan Nasional (BN) dengan menyaksikan Lim Guan Eng dilantik sebagai Ketua Menteri, selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008.

Keputusan PRU-13 juga menyaksikan pakatan pembangkang berjaya mengekalkan kemenangan mereka apabila DAP memenangi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PKR (10), PAS (1) dan BN (10).

Wanita terbabit turut mempersoalkan beberapa masalah membelenggu rakyat Pulau Pinang, yang didakwa gagal diselesaikan kerajaan negeri pimpinan DAP, sejak mentadbir negeri itu.

“Perbelanjaan kita, sudah menyamai kos sara hidup di Kuala Lumpur. Ramai kawan saya terpaksa berpindah untuk mencari kerja di Kuala Lumpur.

“Harga rumah di sini juga sangat mahal. Perlu ada sekurang-kurangnya RM800,000 untuk membeli seunit rumah, jika tidak… berhentilah berangan-angan untuk memiliki kediaman sendiri.

“Malah, mereka (kerajaan negeri) mahu menaikkan tarif air. Apa sudah terjadi, adakah saya tersalah pilih? Adakah saya tidak mengundi?” katanya.

Wanita itu turut mempersoalkan pembangunan yang tidak sekata di kawasan pulau dan di Seberang Perai, selain penutupan banyak kilang antarabangsa di negeri itu.

“Untuk apa bina rumah mewah sedangkan hanya rakyat asing sahaja yang mampu menikmatinya? Malah, ramai sudah kehilangan kerja selepas banyak kilang di negeri ini terpaksa ditutup ekoran pelabur hilang keyakinan.

“Bagaimanapun, kilang haram yang berbahaya kepada orang ramai pula dibina di banyak kawasan di negeri ini,” katanya.

Dalam video sama, wanita berkenaan turut mempertikaikan kewajaran kerajaan negeri membina terowong dasar laut, selain mendakwa projek terbabit sebagai pembaziran.

“Masalah sampah juga gagal ditangani, selain lebih 20 kejadian banjir kilat direkodkan berlaku di negeri ini, sepanjang tahun lalu.

“Pentadbiran mereka sering menuding jari kepada Kerajaan Persekutuan. Adakah mereka terlalu bermegah hingga enggan mengakui kesilapan sendiri? Malah, individu yang suatu masa dahulu digelar sebagai penyangak pula yang menyelamatkan kita,” katanya.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan reaksi wanita berkenaan gagal apabila individu itu gagal dikenal pasti.

Sementara itu, Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, ketika dihubungi menafikan video itu diterbitkan oleh pasukan media BN negeri – BH

LIHAT VIDEO DI SINI



Tiada ulasan: