Jumaat, 23 Februari 2018

Tiada peristiwa 13 Mei di negeri yang pegang kuat ajaran Islam - Hadi

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Umat Islam yang benar-benar berpegang kepada ajaran agama mereka tidak akan mengamalkan perkauman serta menzalimi kaum lain, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Abdul Hadi berkata, ini terbukti apabila peristiwa hitam rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 tidak merebak ke negeri yang mempunyai pengaruh Islam yang kuat. 
 
"Islam sebenar mengajar pengikut-pengikutnya bagaimana kaum Cina, kaum India mereka boleh hidup di kampung-kampung Melayu. Boleh hidup berkedai satu keluarga Cina di kampung Melayu. 
 
"Di Kelantan, Terengganu, Kedah dan di Perlis. Ketika berlakunya huru-hara dalam peristiwa 13 Mei 1969. Terengganu tidak ada 13 Mei, di Kelantan tiada 13 Mei, Kedah tak ada 13 Mei. 
 
"Tetapi, huru-hara berlaku di Pulau Pinang, berlaku di Singapura bergaduh kaum. Tempat yang orang Islam sungguh-sungguh pegang dengan Islam, tak ada gaduh dan tak ada huru-hara," katanya dipetik Harakahdaily, ketika berucap pada majlis Jamuan Sempena Tahun Baharu Cina 2018 di Kuala Terengganu malam tadi.  
 
Justeru katanya PAS mahu selamatkan negara ini dengan memperkenalkan kepada rakyat Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) agar tidak berlaku peperangan dan pergaduhan.
 
"Beza pendapat boleh tetapi bergaduh tidak boleh dan kita (PAS) nak halang sebab-sebab yang boleh menimbulkan pergaduhan itu," ujar beliau.
 
Ahli Parlimen Marang itu berkata, bagi merealisasikan misi tersebut, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini PAS berusaha menang untuk memerintah Terengganu semula dan Malaysia amnya.
 
"Kita (PAS) cuba di Kelantan, cuba di Terengganu, cuba di Kedah tetapi kita tidak kuasa yang lebih. Jika boleh, kita (PAS) hendak kuasai sampai ke kerajaan pusat. 
 
"Dalam pilihan raya ini (PRU14), PAS akan bertanding 130 kerusi Parlimen, kerana untuk memerintah negara kita (PAS) memerlukan 112 kerusi. Jika PAS boleh 112 kerusi Parlimen, PAS boleh memerintah negara. 
 
"Maka, kaum Cina, kita minta supaya memberi kepercayaan kepada PAS, bukan sahaja di Terengganu juga kita mahu peringkat Malaysia. 
 
"Kita (PAS) mahu menjadi sebuah parti yang kuat, parti yang gagah, yang boleh menghalang orang yang hendak buat huru-hara, buat kacau dalam negeri kita ini," jelasnya.
 
Tegasnya lagi, PAS terbukti membela keadilan semua kaum ketika memerintah Terengganu dalam tempoh 1999 hingga 2004.
 
Ujarnya, sewaktu menjadi Menteri Besar Terengganu ketika itu, beliau menghapuskan cukai pintu rumah kediaman, selain memberi geran tanah kepada rakyat tanpa mengira kaum.  
 
"PAS pernah memerintah (Terengganu) tahun 1999 dan saya dilantik menjadi Menteri Besar ketika itu. Banyak benda yang kita buat antaranya kita (PAS) hapus cukai pintu rumah kediaman. 
 
"Kita hapus cukai peniaga-peniaga kecil. Kita beri geran tanah kepada rakyat tidak kira kaum apa termasuk orang Cina, India, Melayu. 
 
"Di sana ada Kampung Baru Cina Bukit Berangan (Tepoh), ada Kampung Batu Lima, Dungun dan ada Kampung Air Putih, Kemaman. Mereka (orang Cina) dikurung oleh British dahulu. 
 
"Walaupun (negara) kita telah merdeka, kerajaan tidak beri mereka geran tanah sehinggalah kita memerintah, kita (PAS) beri geran tanah. Kita bantu sekolah-sekolah rakyat termasuk sekolah Cina, sekolah Tamil, kita tolong," ujarnya lagi.
 
 

Tiada ulasan: