Selasa, 27 Februari 2018

Tetapkanlah tarikh pilihan raya...

DETIK DAILY

 
Oleh Lanh

THAI umum pilihan raya Nov '18 - demikian tajuk utama berita sebuah akhbar tanah air tidak lama dulu. Intro berita itu berbunyi: Thailand akan mengadakan pilihan raya umum pada November 2018, menurut Perdana Menterinya Prayuth Chan-o-cha.

Selain Thailand, sebagai jiran terdekat, banyak lagi negara maju dan sedang membangun seperti Pakistan dan Indonesia awal-awal lagi sudah menetapkan tarikh pilihan raya lama sebelum ia berlangsung. Pendeknya, sejak awal lagi tarikh itu telah di'booking' (tempah) - jadi tidaklah banyak pihak dan orang perseorangan 'jadi susah' dibuatnya.

Malah negara yang mendabik dada sebagai terhebat di dunia, Amerika Syarikat juga sudah menetapkan tarikh pilihan raya lama sebelum ia berlangsung. Amerika memilih tanggal awal November setiap empat tahun sebagai tarikh pilihan raya.

Akan tetapi, di Malaysia, Perdana Menteri mempunyai kuasa memilih tarikh pilihan raya. Mungkin setelah beliau berpuas hati bahawa semua keadaan menguntungkan perikatan parti pemerintah BN, barulah beliau membuat kepu- tusan untuk mengadakan pilihan raya.

Sekarang ini pelbagai pihak membuat andaian pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat ini kerana telah wujud pelbagai 'feel good factor' seperti pulangan dividen atau bonus tinggi bagi KWSP, Tabung Haji, malah ekonomi dikatakan semakin kukuh termasuklah peningkatan nilai ringgit berbanding dolar Amerika.

Di Malaysia kerana 'ada kuasanya' seseorang perdana menteri mengenai tarikh pilihan raya menyebabkan banyak pihak dan orang perseorangan kelam kabut apabila pilihan raya diadakan mengikut 'suka hati' beliau!

Bagi negara kita, umum mengetahui bahawa PRU mesti diadakan sebelum tarikh akhir hayat Parlimen selepas kerajaan yang memerintah tamat tempoh lima tahunnya. Bagaimanapun, tarikh PRU itu tidak diketahui, ia boleh diadakan bila-bila masa sebelum tempoh itu tamat; ketidak-tentuan tarikh pilihan raya inilah dilihat sebagai dieksploitasi oleh parti pemerintah sementara bagi pembangkang ia banyak merugikan mereka.

Jika dilihat senario antarabangsa seperti yang telah dinyatakan, kebanyakan negara demokrasi dunia mempunyai jadual pilihan rayanya. Mungkin negara kita satu-satunya di mana ketua kerajaan (perdana menteri) mempunyai hak menentukan tarikh pilihan raya.

Beliau berhak memanggil pilihan raya sekalipun tempoh mandat pemerintahan lima tahun belum tamat. Namun biasanya pilihan raya dilangsungkan pada ketika parti pemerintah yakin ia mendapat undi dan sokongan kuat rakyat. Ia dilangsungkan pada ketika parti pemerintah berada dalam keadaan kuat dan selesa.

Apabila perdana menteri sahaja yang tahu bila pilihan raya hendak diadakan, beliau akan menggunakan kesempatan itu sepenuhnya. Sudah pasti beliau menjurus untuk mengadakannya pada masa difikirkan paling sesuai untuk kemenangan partinya sementara lawan pula berada dalam keadaan huru-hara atau lebih teruk lagi 'nazak'.

Seorang tokoh politik pembangkang berkata sewajarnya perdana menteri bersikap 'gentleman' atau dalam bahasa Melayu pasarnya 'anak jantan' dengan mengumumkan tarikh pilihan raya lebih awal dan bukannya berahsia. Katanya, pengisytiharan awal tarikh pilihan raya akan memberi peluang adil kepada semua parti atau individu yang akan bertanding.

Teka-teki tarikh pilihan raya membayangi negara buat tempoh masa yang panjang. Apabila diheboh-hebohkan akan diadakan pilihan raya, sepanjang tempoh ini dikhuatiri ‘politiking’ amat panas, menjadikan banyak kerja dan perancangan bukan saja di pihak kerajaan tetapi rakyat tergendala.

Misalnya, perbahasan hangat terjadi agar pilihan raya tidak dilangsungkan pada waktu tertentu seperti musim haji atau musim tengkujuh (banjir); semua ini menyumbang kepada ketidak-tentuan yang boleh membawa kepada pelbagai hal negatif seperti pembaziran masa dan tenaga manusia. Dengan tiadanya tarikh PRU ditanda di kalendar, banyak majlis seperti keramaian dan perkahwinan boleh terjejas dan menyusahkan pelbagai pihak.

Sehubungan itu dilihat bahawa ada keperluan mendesak untuk meminda undang-undang pilihan raya termasuklah menetapkan tarikh pilihan raya. Apabila tarikh pilihan raya sudah ditetapkan awal, tidaklah urusan pelbagai pihak tergugat akibat ketidak-tentuan itu seperti yang berlaku sekarang ini!-http://lanh14.blogspot.my/

Tiada ulasan: