Khamis, 22 Februari 2018

Terima rasuah, bekas COO Rapid Penang didenda RM1.05 juta

 
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa terima suapan wang tunai dalam 3 transaksi daripada Syarikat Jayonik MSC Sdn Bhd.


Gambar Facebook
Gambar Facebook


KUANTAN: Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Rapid Penang dijatuhi hukuman denda RM1.05 juta dan penjara 14 hari oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku bersalah atas 3 pertuduhan rasuah berjumlah RM210,000 antara 2014 sehingga 2016.

Hakim Dasuki Ali menjatuhi hukuman tersebut terhadap Mohd Shukri Abdul Rahman, 55, selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan itu dibacakan kepadanya.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menerima suapan wang tunai dalam 3 transaksi daripada Syarikat Jayonik MSC Sdn Bhd sebagai sebagai dorongan membantu syarikat itu mengeluarkan surat pelantikan projek “Develop, Design, Manufacture, Supply, Delivery, Installations, Testing,
Commissioning and Warranty of Bus Simulator System for Prasarana”, dianggar bernilai RM8 juta.

Bagi transaksi pertama, tertuduh didakwa menerima RM100,000 pada 12 Mac 2014 menerusi akaun milik rakannya di Hong Leong Bank cawangan Beserah.

Bagi transkasi ke-2 pada 20 Jun 2016, sebanyak RM40,000 dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik isteri tertuduh di CIMB Bank cawangan Pekan.

Bagi pertuduhan ke-3 iaitu kes dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Georgetown, Mohd Shukri didakwa menerima wang tunai RM70,000 daripada syarikat sama menerusi akaun Maybank milik kakitangannya dari Maybank cawangan Penang Times Square, Georgetown, Pulau Pinang pada 20 April 2015.

Dia dituduh mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, memperuntuk penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Fadhly Mohd Zamri manakala tertuduh diwakili Datuk Shukri Mohamad.

Pada Ogos tahun lepas, Mohd Shukri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan dan Mahkamah Sesyen Georgetown bagi 42 pertuduhan rasuah melibatkan sejumlah RM508,418 diterima daripada beberapa syarikat bermula 2013 hingga 2017.

Daripada 42 pertuduhan berkenaan, 3 daripadanya dibaca semula dalam prosiding hari ini.

Shukri kemudian memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kepada tertuduh memandangkan pengakuan bersalahnya menjimatkan masa dan kos mahkamah.

“Selain itu, tertuduh turut mengalami masalah sakit jantung, kencing manis serta penyakit buah pinggang, memerlukannya menjalani rawatan hemodialisis 3 kali seminggu dan hukuman penjara panjang tidak sesuai untuk pesakit kronik sepertinya,” katanya.

Tertuduh juga meletakkan jawatannya sebagai COO Rapid Penang pada November tahun lepas setelah lebih 11 tahun berkhidmat dan menyerahkan semula 3 kenderaan mewah dibelinya menggunakan wang berkenaan kepada SPRM.

Bagaimanapun, Ahmad Akram memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal memandangkan ia melibatkan kepentingan awam.

Hakim kemudian memutuskan tertuduh dikenakan denda sebanyak RM1.05 juta serta 2 minggu penjara untuk 3 pertuduhan itu manakala 39 pertuduhan lagi diambil pertimbangan oleh pihak mahkamah.

Tiada ulasan: