Ahad, 18 Februari 2018

Syamsul Yusof Dorong Mawi Bikin Filem

MYNEWSHUB



DORONGAN yang diterima daripada pengarah terkenal, Syamsul Yusof memberikan keyakinan buat penyanyi, Mawi untuk mencuba nasib mengarah filem terbitan syarikat produksinya sendiri.

 

Filem terbitan Mawi World Production Sdn. Bhd. itu kini sedang menjalani penggambaran dan menurut Mawi, tajuknya masih belum diputuskan.

Jelas Mawi, filem yang sedang diarahnya itu bergenre Komedi Islamik dan dibintangi Hazama, Joey Daud, Along Cham dan Amira Ohman.



Sebelum filem ini, Mawi mempunyai pengalaman mengarahkan lima telemovie juga terbitan syarikatnya itu sendiri iaitu Pak Nil… Ibu Kirim Salam, Jiwa Kacau, Siapa Dapat Lisa, Novel Fana serta Rock Sangkut.

Jelas Mawi, bimbingan dan tunjuk ajar daripada Syamsul membuatkan impiannya yang terpendam selama lima tahun berjaya ditunaikan.

“Saya tidak sangka boleh menyimpang jauh daripada kerjaya asal sebagai penyanyi. Minat saya sekarang lebih terarah pada kerja belakang tabir.

“Bagaimanapun, saya bertuah memiliki sahabat seperti Syamsul Yusof yang tidak lokek ilmu dan banyak memberi tunjuk ajar kepada saya,” katanya memetik portal Berita Harian Online.



Menurut Mawi, ketika Syamsul mengajaknya berduet menerusi lagu Kalah Dalam Menang, dia mengambil peluang tersebut untuk menuntut ilmu dengan pengarah yang memiliki deretan filem pecah panggung itu.

Sebelum memulakan penggambaran filem tersebut, Mawi dan Syamsul duduk semeja berbincang mengenai idea dan skrip yang akan diketengahkan sejak awal.

Kata Mawi, Syamsul berpendapat filem bergenre Komedi Islamik ini mempunyai ruang kosong dalam industri di mana genre tersebut jarang diketengahkan.

“Saya melabur RM1.5 juta untuk menghasilkan filem ini dengan keyakinan Syamsul. 

“Sepatutnya, Syamsul juga berlakon dalam filem ini, tetapi jadualnya terlalu padat,” ujar Mawi sambil menjangkakan bahawa filem tersebut akan menemui penonton akhir tahun ini.

Filem yang masih belum ditentukan tajuk itu merupakan sambungan daripada telemovie arahan Mawi berjudul Rock Sangkut di mana terdapat beberapa babak dalam filem tersebut yang menjadi tular di media sosial.

“Saya tengok daripada lima telefilem yang saya arahkan, telefilem Rock Sangkut menjadi bualan. Beberapa babak dalam telefilem ini juga menjadi viral.

“Saya kaji kelemahan telefilem itu sebelum menghasilkan skrip. Saya bukannya berpengalaman, jadi sudah tentu ada kelemahan yang harus diperbaiki,” katanya.



Mawi berkata, tiga watak utama daripada telefilem tersebut iaitu Hazama, Along dan Joey dikekalkan selepas mendapat banyak permintaan daripada peminat telemovie tersebut. – MYNEWSHUB.CC/EZ





Tiada ulasan: