Sabtu, 17 Februari 2018

SPRM perlu siasat secara telus tanah RM1.18 bilion di Ijok - ADUN Selangor

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: ADUN Selangor mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan telus dalam menyiasat isu tanah mukim Ijok yang bernilai RM1.18 bilion di Selangor.
 
Ia ditegaskan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin ketika diminta mengulas berkenaan isu tanah di Ijok itu, yang kini dalam siasatan SPRM.
 
"Pihak SPRM perlu menjalankan siasatan yang telus. Terpulang pada mereka, yang penting mereka mengikut tatacara yang telus dalam siasatan. Tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak," ujarnya ringkas kepada Antarapos hari ini.
 
Hasnul yang kini mewakili Amanah bagaimanapun, enggan mengulas lebih lanjut bersabit pertikaian isu tanah di negeri pimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu.
 
Mohamed Azmin kelmarin memaklumkan kerajaan negeri pimpinannya sudah menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada SPRM untuk disiasat.
 
Dokumen berkenaan telah diserahkan beberapa bulan sebelum ini berikutan laporan yang dibuat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) kepada SPRM yang meminta siasatan dilakukan terhadap isu itu.
 
Untuk rekod, selepas pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim merampas tanah berkenaan, dua syarikat pemaju itu menyaman kerajaan negeri Selangor dan menteri besar (Khalid) di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mendapatkan kembali tanah tersebut namun keputusan mahkamah pada 22 Oktober 2013 tidak memihak kepada mereka.
 
Dua syarikat itu membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan keputusannya pada 17 Februari 2014 sekali lagi memihak kepada kerajaan Selangor dan Khalid. Tidak putus asa, dua syarikat itu kemudiannya mebawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan - untuk diadili bagi kali terakhir.
 
Namun, ketika Mahkamah Persekutuan belum membuat apa-apa keputusan, kerajaan negeri mengatur penyelesaian yang menyaksikan tanah itu dikembalikan kepada dua syarikat pemaju itu, sebelum dijual kepada pihak ketiga.
 
Sementara itu, ADUN PAS Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz dalam reaksinya menyokong tindakan kerajaan negeri menyelesaikan isu tanah berkenaan di luar mahkamah, sebelum selesai proses perundangan di di Mahkamah Persekutuan.
 
"Tetapi saya yakin sebab Selangor ini, telus. Saya yakin, (tindakan) kerajaan Selangor betul.
 
"Tidak perlu penyelesaian mahkamah. Apa yang berlaku memang betul. Cuma orang nak cari 'political mileage' yang murah dia terus buat tuduhan. Patutnya buatlah satu rombongan tanya, apa yang berlaku. Bukan keluar kenyataan dalam surat khabar dan sebagainya. Kalau niat kita baik," ujarnya.
 
Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, menuntut penjelasan Mohamed Azmin berhubung tindakan tergesa-gesa Kerajaan Selangor menyerahkan tanah bernilai RM1.18 bilion di mukim Ijok kepada dua syarikat pada 2016.
 
Abdul Rahman berkata, tindakan menyerahkan tanah seluas kira-kira 880 hektar itu sebelum kes berkenaan didengar di Mahkamah Persekutuan, menimbulkan pelbagai persoalan kerana keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memihak kepada kerajaan negeri dalam isu mendapatkan balik tanah itu.
 
 

Tiada ulasan: