Jumaat, 16 Februari 2018

Puji tapi tak sokong, vox pop di Salor dedah peluang Husam Musa

 
Ramai tidak menafikan bekas pemimpin kanan PAS itu seorang yang berkaliber, tetapi tidak senang dengan penglibatannya dalam Amanah.


Salor4


Wisma Tok Guru di Salor yang menempatkan pejabat Husam Musa, menjadi simbol perebutan pengaruh dan kuasa antara Amanah dan PAS.

KOTA BHARU: Tumpuan pilihan raya umum di Kelantan sudah pasti ke arah Datuk Husam Musa, bekas exco di negeri itu yang satu masa dulu disebut-sebut menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tetapi kini menjadi antara orang yang mendepani Amanah dalam melawan PAS yang sekian lama memerintah.

Tidak dinafikan, kemasukan Husam ke dalam Amanah memberikan suntikan baru kepada Amanah di Kelantan, negeri yang menjadi medan golongan “konservatif” dan “progresif” yang diwakili PAS dan Amanah.

Husam-Musasmal
Datuk Husam Musa

Bagaimanapun, sentimen Husam itu tidak tampak jelas ketika FMT membuat tinjauan di Salor, kerusi negeri diwakili Husam di bawah Parlimen Kubang Kerian.

Rata-rata mereka sedikit keliru sama ada mahu menyokong bekas orang kanan Nik Aziz itu, menjadikan nasibnya pada pilihan raya akan datang seolah-olah kabur.

Ramli Mamat 54, tidak menafikan Husam pemimpin disegani rakyat dan mempunyai banyak idea membangunkan negeri itu.

Bagaimanapun, beliau yang merupakan penyokong tegar PAS kini berbelah bagi dalam menyokong Husam yang menjadi wajah Amanah di Kelantan.

“Kalau dia masih bersama parti lama, kita akan terus sokong. Kami sayangkan Husam, tapi kami terpaksa membuat pilihan antara parti dan individu,” katanya.

Begitu juga Abdul Rahman Jusoh, 52, yang tanpa berselindung berkata naib presiden Amanah itu seorang pemimpin yang rajin bertemu rakyat.

Bagaimanapun, dia masih belum dapat menyokong Husam kerana Amanah bekerjasama dengan DAP dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kubang-Keria

Salor merupakan antara tiga kerusi negeri di bawah Kubang Kerian, antara bandar sibuk di Kota Bharu.

“Semua orang tahu rakyat Kelantan sangat marah dengan Dr Mahathir sejak dulu sebab selama 22 tahun beliau menjadi perdana menteri kami terseksa,” katanya, yang menambah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak “lebih baik sedikit”.

Dua lagi penyokong PAS, Mustapa Awang 48 dan Fadli Hassan, 29, turut berkongsi pandangan negatif mengenai Husam.

Menurut mereka, penduduk Salor kecewa dengan Husam, dan mendakwa beliau berubah sejak ketiadaan Nik Aziz, yang meninggal dunia pada Februari 2015.

‘Banyak idea’

Sabri Yusof pula sambil menyindir berkata Husam seorang “bijak mengatur strategi” untuk membangunkan Kelantan ketika menjadi exco, tetapi “projek yang dirancang lingkup”.

Beliau merujuk pujian Nik Aziz terhadap Husam, yang menganggap Husam seorang yang cerdik dan “dicipta oleh Allah untuk Malaysia”.

“Betul la Tok Guru kata,” kata Sabri. “Sebab terlalu pandai sampai projek Depu, projek Stadium Bukit Merbau Pasir Puteh dan Projek Kambing Jamnapari lingkup sebab terlalu bijak,” katanya.

Tiga projek yang disebut itu rapat dengan Husam ketika menjadi sebahagian kerajaan PAS.

Projek Stadium Bukit Merbau bertujuan membina bandar pembangunan sukan tetapi terbengkalai selepas dirasmikan.

Projek Koridor Depu pula dilancarkan pada 2007 untuk memajukan tanaman pokok depu seluas 400 hektar, untuk menghasilkan minyak wangi, untuk dieksport ke pasaran Timur Tengah.

Manakala projek ternakan kambing Jamnapari bertujuan menjadikan Kelantan hab ternakan kambing komersil, tetapi dipercayai tidak berjalan lancar.

Tetapi Razlin Abdullah berkata Husam seorang pemimpin masa depan buat rakyat Kelantan jika dibandingkan dengan pemimpin PAS hari ini.

Menurutnya, Salor terlalu kecil untuk Husam, kerana beliau layak menjadi menteri besar.
Sebaliknya, Mariah Musa tidak melihat perbezaan antara Amanah dan PAS.

“Satu parti pandai cakap soal Islam sahaja, tapi pembangunan tak semana-mana, satu lagi parti hanya pandai tabur janji berebut jawatan,” katanya yang menyokong Barisan Nasional.

Seorang penghulu di Salor berkata Husam bakal berdepan kekalahan pada pilihan raya akan datang jika kekal bertanding di sini.

“Walaupun beliau pemimpin peringkat nasional, Amanah di Salor tiada sambutan,” kata Fauzi Seleh, penghulu Mukim Teluk Kandis.

Bagi penduduk Yahya Othman, soal Husam turun padang tidak perlu dijadikan ukuran kerana Husam diperlukan di peringkat nasional.

Mohd Razi pula yakin Amanah mampu mengekalkan kerusi Salor jika Husam bertanding.

“Husam ada pengaruh tersendiri, bila Amanah bertanding undi PAS akan berpecah dan calon Amanah akan di bantu sokongan parti PH yang lain khususnya PPBM yang mampu menarik undi Umno,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan Kubang Kerian, Datuk Abdul Halim Yusof turut menafikan dakwaan Husam jarang turut padang bertemu rakyat.

Husam memenangi kerusi Salor sebagai calon PAS dengan majoriti 3,683, menewaskan calon BN, Mohd Noordin Awang.

Tiada ulasan: