Selasa, 20 Februari 2018

PPBM Selangor tetap mahu kerusi BN

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PPBM Selangor masih dengan pendirian untuk bertanding di kesemua kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) di Selangor pada pilihan raya umum lalu, kata Pengerusinya Datuk Abdul Rashid Asari.
 
Ujar beliau, parti yakin terhadap kemampuan calon mereka untuk merampas kerusi milik BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)
 
"Memang faktor kemenangan adalah penting, tetapi PPBM yakin mampu menarik pengundi sekali gus merampas kerusi.
 
"Sehingga kini, pengagihan kerusi masih belum selesai dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat," katanya dipetik BH Online.
 
Abdul Rashid mendakwa perbincangan di antara semua parti Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP, PKR dan Amanah berjalan lancar.
 
Selasa lalu, Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar, berkata PPBM boleh meminta seberapa banyak bilangan kerusi DUN yang mereka mahukan untuk bertanding di Selangor pada PRU14.
 
Namun katanya PH menetapkan, kriteria calon yang dipilih adalah berdasarkan faktor winnability atau 'kemampuan untuk menang' dalam memastikan PH terus kekal memerintah Selangor.
 
Atas faktor berkenaan, PPBM mungkin tidak akan dapat meletakkan calon di semua 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik BN di Selangor.
 
Sebelum ini, Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehuddin Amiruddin berkata, PPBM memohon 12 kerusi milik BN untuk diletakkan calon mereka.
 
Bagaimanapun, katanya, pada masa sama, PKR juga turut berhasrat meletakkan calon mereka di semua kerusi terbabit.
 
Menurut Sallehuddin, PPBM tidak akan bertolak ansur malah mempertahankan permohonan berkenaan.
 
Ketika ini, PKR menyandang 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP (13), PAS (13), BN (12) dan PAN (2).
 
Dua DUN lagi adalah Bebas iaitu DUN Pelabuhan Klang dan Telok Datuk.
 
 
 

Tiada ulasan: