Ahad, 18 Februari 2018

Penuntut UTM maut, tiga cedera kereta terbabas masuk parit

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUANTAN: Seorang mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) maut manakala tiga rakan sekampusnya cedera selepas kenderaan Mitsubishi Pajero yang dinaiki terbabas sebelum memasuki parit di Kilometer 154 Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Rompin semalam.
 
Mangsa, Che Muhammad Shahninsyawal Che Shahdam, 20, yang merupakan penumpang belakang sebelah kiri meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan pada pukul 7.15 malam itu.
 
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan dari arah Kuantan yang dalam perjalanan pulang ke Johor terbabas ketika cuba mengelak kenderaan yang dipercayai memotong dari arah depan.
 
"Berikutan itu, pemandu hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke dalam parit menyebabkan semua penumpang cedera termasuk mangsa maut.
 
"Dua rakan mangsa dirawat di Hospital Rompin manakala seorang lagi dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan lanjut," katanya di sini hari ini.
 
Menurut Azli, semua mangsa beralamat di Kelantan dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 
 

Tiada ulasan: