Selasa, 27 Februari 2018

Penjawat awam bebas mengundi sesiapa

DETIK DAILY

 
Oleh A. Sivanesan

 IKRAR Aku Janji penjawat awam di bawah Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bukan bermakna kakitangan kerajaan perlu menyokong Barisan Nasional (BN).

Sama seperti hak-hak pengundi yang lain, undi penjawat awam adalah rahsia, mengikut lunas-lunas demokrasi dan tidak hanya tertakluk kepada parti pemerintah semata-mata dengan mereka turut bebas mengundi parti pembangkang.

Kontrak perkhidmatan kakitangan awam juga sama seperti pekerja swasta yang jelas mengatakan pekerja hanya perlu mematuhi arahan majikan (kerajaan) semasa tempoh 8 jam bekerja dan tidak pernah menggariskan terma-terma wajib untuk mengundi BN.

Oleh itu, kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Zainal Rahim Seman bahawa penjawat awam perlu menghargai kerajaan sedia ada yang telah melakukan pelbagai penambahbaikan dalam sektor perkhidmatan awam adalah sangat-sangat dikesali.

Sebagai kakitangan kerajaan, Zainal Rahim sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan yang sangat mengelirukan ini kerana kesetiaan penjawat awam adalah kepada 'government of the day' atau mana-mana kerajaan yang memerintah setelah dipilih oleh rakyat.

Semua pihak harus menolak kenyataan Zainal Rahim yang boleh dianggap suatu ugutan kepada kakitangan awam.

Buat kakitangan kerajaan yang akan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), anda bebas untuk mengundi sesiapa jua sama ada dari mana-mana parti kerana hak tersebut dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.

Kami terima banyak aduan di kalangan guru yang mendakwa telah diugut akan dibuang atau dikenakan tindakan jika mengundi pembangkang pada PRU14.

Jangan takut, jika ada mana-mana penjawat awam yang ditekan, diugut atau dikenakan tindakan kerana tidak mengundi BN, kami sedia dan bersiap siaga membela anda. Kami akan memberi perkhidmatan guaman secara percuma demi menegakkan proses demokrasi dan membela nasib kakitangan kerajaan.

* A. Sivanesan adalah Pengerusi Biro Buruh DAP.
 
 

Tiada ulasan: