Ahad, 25 Februari 2018

Pelumba Cub Prix Maut Terlibat Kemalangan



MYNEWSHUB

 

PELUMBA Cub Prix negara, Zaidy Mohamad Zaifaizal Mahendran maut apabila terlibat dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), dekat Nilai, awal pagi tadi.

 

Zaidy, 27, yang menunggang untuk pasukan Motul Yamaha YY Pang, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala serta dalaman.

Manakala penunggang sebuah lagi motosikal, Dzul Fikar Idris, 27, mengalami kecederaan termasuk di tangan dan kaki dan kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Siasatan awal mendapati, Zaidy yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR berada di lorong kiri dan sedang bergerak ke utara dari arah Seremban menuju ke Kuala Lumpur.

Namun di Kilometer 22.9, mangsa yang sedang berkonvoi bersama Dzul Fikar cuba mengelak suatu objek di lorongnya, menyebabkan motosikalnya hilang kawalan lalu terbabas di lorong kanan sehingga merempuh pembahagi jalan.

Sementara itu, Dzul Fikar yang berada di lorong tengah cuba mengelak daripada melanggar mangsa menyebabkan motosikal terbabas di tempat kejadian.

Kedua-dua motosikal berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk ujian kimia Kriminalistik.
Kes kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jenazah telah dituntut ahli keluarganya untuk urusan pengkebumian. -MYNEWSHUB.CC

LIHAT VIDEO DI SINI

 

Tiada ulasan: