Rabu, 21 Februari 2018

Patuhi had laju dekat Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau

THE MALAYSIAN TIMES
 


SHAH ALAM: Pengguna jalan raya yang melalui Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di sini dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda amaran had laju dengan memperlahan kenderaan masing-masing ketika menghampiri kawasan plaza tol.

engarah Urusan PLUS Malaysia Berhad Datuk Azman Ismail berkata papan tanda amaran seperti had kelajuan kenderaan, dilarang memotong, lencongan di hadapan dan sebagainya disediakan untuk memberi peringatan kepada kira-kira 150,000 pemandu yang melalui kawasan itu setiap hari. “Selain itu, PLUS turut meletakkan kon-kon keselamatan berpelekat pemantul cahaya di lokasi untuk membolehkan pemandu mengetahui kedudukan lorong.

“Lampu-lampu jalan turut dinyalakan pada waktu malam untuk membantu orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata kerja-kerja pengurusan trafik dan penutupan lorong di Plaza Tol Batu Tiga bermula semalam manakala di Plaza Tol Sungai Rasau, ia bermula malam ini seperti yang dijadualkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Ismail Md Salleh meminta pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya ketika mendekati plaza tol berkenaan dengan mengurangkan kelajuan kenderaan sehingga 30 kilometer sejam.

Struktur Plaza Tol Batu Tiga, yang operasi kutipan tolnya dibatalkan bermula 1 Jan lepas, mendapat perhatian orang ramai apabila ia meragut empat nyawa pengguna jalan raya dalam tempoh dua bulan tahun ini.

Dalam kes terbaharu pada Isnin lepas, dua sahabat menjadi mangsa korban struktur fizikal plaza tol itu apabila kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan dan merempuh tembok tol dalam kejadian 12.55 pagi.

Kemalangan maut akibat rempuhan tembok plaza tol itu adalah yang kedua di lokasi itu selepas kemalangan yang meragut nyawa dua sahabat pada 15 Jan lepas. Kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau dimansuhkan bermula 1 Jan lepas susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2018 pada Oktober 2017.

Dalam pada itu, seorang rakan niaga stesen minyak Petronas di Batu 3, Lebuhraya Persekutuan Siti Norhayati Mohd Nor berkata tindakan sesetengah pengguna, yang tidak sedar mengenai pemansuhan tol di kedua-dua plaza tol itu, memperlahankan kenderaan kononnya untuk membayar tol boleh mengundang bahaya kepada keselamatan diri mereka.

“Bayangkan, pemandu yang memperlahankan kenderaan diekori pemandu yang memandu secara laju dari arah belakang. Sudah tentu pemandu yang memandu laju boleh merempuh belakang kenderaan yang diperlahankan berikutan kecuaian pemandu itu sendiri,” katanya.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati pekerja syarikat kontraktor yang dilantik syarikat PLUS giat melakukan kerja-kerja perobohohan sebahagian struktur bangunan di Plaza Tol Batu Tiga. Menurut PLUS kerja-kerja meroboh struktur fizikal Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau sudah pun bermula dan dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung Mac ini. –Bernama

Tiada ulasan: