Isnin, 19 Februari 2018

PAS bakal hilang Temerloh

PAS bakal hilang Temerloh
Temerloh adalah antara kerusi marjinal yang bakal menyaksikan pertembungan hebat PAS, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan diwakili Amanah. Kawasan itu yang majoriti Melayu jatuh ke tangan PAS pada PRU13 selepas mendapat sokongan pengundi Cina dan India. Pada PRU14, nasib parti Islam itu masih jadi teka teki. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
Menuju Pilihan Raya Umum ke-14, The Malaysian Insight menyiarkan siri laporan mengupas kerusi-kerusi marginal. Dalam kupasan tentang kerusi Parlimen Temerloh kali ini, kami melihat bagaimana BN dijangka akan merampas semula kerusi yang ia kalah kepada PAS pada pilihan raya yang lepas.

KERUSI Parlimen Temerloh akan jadi antara kerusi ujian bagi PAS selepas parti Islam itu mengumumkan mahu bertanding di tidak kurang 130 kerusi Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Di atas kertas, PAS bakal melepas kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum yang lalu sekurang-kurangnya atas dua alasan: pertama, rakyat serik dengan prestasi wakil rakyat penyandang dari parti Islam itu dan kedua, pertembungan tiga penjuru yang akan memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Penyandangnya sekarang Nasruddin Hassan Tantawi dari PAS disebut-sebut oleh sumber dalaman parti Islam itu dan penganalisis politik akan mencari kerusi lain kerana dilihat "tidak selamat" di Temerloh.

Dalam tinjauan awal The Malaysian Insight sebelum ini, rata-rata pengundi Temerloh mengkritik Nasruddin yang dikatakan tidak jaga kawasan.

Suara akar umbi PAS kawasan pula mendesak mahukan calon tempatan, bukan saja bagi kerusi Parlimen Temerloh malah tiga kerusi negeri di bawahnya – Kuala Semantan, Mentakab dan Lanchang, kata pemimpin PAS tempatan.

"Yang kita nak memang calon tempatan tetapi apa juga keputusan tertakluk kepada pucuk pimpinan," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu kepada The Malaysian Insight.

Pakatan Harapan (PH) pula tidak akan menurunkan Setiausaha Agungnya Saifuddin Abdullah, yang menyertai PKR selepas keluar Umno, kerana kerusi itu dipersetujui akan ditandingi oleh Amanah.

The Malaysian Insight difahamkan Amanah sudah menyerahkan dua nama kepada pucuk pimpinan pusat untuk dipertimbangkan mewakili PH pada PRU14.

"Kedua-dua calon itu adalah calon tempatan," kata Pengerusi Amanah Pahang Hamzah Jaffar.

“Tapi buat masa ini, saya tidak boleh dedahkan siapa individu yang akan dicalonkan ini."
Pengundi Temerloh dikatakan mahu wakil rakyat orang tempatan berbanding wakil rakyat sekarang Nasruddin Hassan Tantawi yang dianggap 'orang luar'. Faktor yang perlu dipertimbangkan semua parti yang mahu menduduki Parlimen Temerloh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2018.
Pengundi Temerloh dikatakan mahu wakil rakyat orang tempatan 
berbanding wakil rakyat sekarang Nasruddin Hassan Tantawi 
yang dianggap 'orang luar'. Faktor yang perlu dipertimbangkan 
semua parti yang mahu menduduki Parlimen Temerloh. 
– Gambar fail The Malaysian Insight
Dalam tinjauan The Malaysian Insight di Temerloh, satu nama pemimpin Amanah yan
g disebut-sebut bakal jadi calon bertanding kerusi Parlimen ialah wakil rakyat Kuala Semantan, Syed Hamid Mohammad, yang juga timbalan pengerusi Amanah Pahang.

Bagaimanapun jika dilihat kepada pengalaman, calon paling mempunyai peluang cerah ialah Adun Lanchang Sharkar Shamsuddin, yang juga ketua Umno Bahagian Temerloh.

Pada PRU13, Umno mendapat sehingga 60% undi Melayu di semua daerah pengundi Melayu. Pada pilihan raya umum yang akan datang ini, Umno Temerloh yakin sokongan orang Melayu kepada BN akan meningkat. Kawasan ini mempunyai lebih kurang 65% pengundi Melayu.

Pada pilihan raya lima tahun lalu, Nasruddin mengalahkan Saifuddin dengan majoriti 1,070 undi, sebahagian besarnya kerana sokongan pengundi Cina dan India yang masing-masing membentuk 24% dan 9% daripada keseluruhan pengundi.

Sokongan pengundi Cina juga menyebabkan BN terlepas kerusi Mentakab kepada DAP sementara Kuala Semantan kekal dengan PAS.

Selepas PAS memilih jalan bersendirian dan tidak bersama PH, banyak pihak percaya parti Islam itu tidak lagi akan dapat sokongan yang sama daripada pengundi Cina dan India seperti pada PRU13.

Dalam keadaan di Temerloh yang majoriti pengundi Melayunya memilih Umno selama ini, PAS sekali lagi berdepan jalan sukar.

Seorang pegawai agensi kerajaan yang ditugaskan ke Temerloh, Muhammad Saleh Aziz berkata sekiranya dicalonkan oleh BN, Sharkar ada peluang cerah untuk menang.

"Susah nak lihat Pakatan yang dah tak ada PAS dapat sokongan orang Melayu di sini. Mungkin Umno boleh menang semua DUN dan Parlimen pada PRU depan," katanya.

Tiada ulasan: